Isnin, 3 Jun 2013

Ramai sokong SPR di bawah Parlimen

Kuala Lumpur: Pelbagai pihak, termasuk Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang memuji keputusan kerajaan memindahkan kawal selia Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) kepada Jawatankuasa Khas Parlimen.

Ahli Parlimen Rembau yang juga Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata keputusan itu menunjukkan komitmen Perdana Menteri untuk melakukan transformasi pilihan raya yang pastinya disokong sepenuhnya oleh Kabinet.

Ia sebahagian cadangan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya. Ini membuktikan Datuk Seri Najib Razak konsisten dengan program transformasi politiknya, katanya dalam akuan twitternya.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, kelmarin, untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu Jawatankuasa Khas Parlimen yang bebas dan dwipartisan dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu diambil bagi memperkukuh kewibawaan dan kredibiliti badan pelaksana pilihan raya negara.

Langkah positif

Ahli Parlimen Papar yang juga Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, menyifatkan langkah itu positif, telus dan demokratik, selain tiada lagi pertikaian mengenai kewibawaan SPR.
Semua pihak perlu melihatnya sebagai positif dan rasional, katanya.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh, menyokong keputusan itu dan berharap jawatankuasa khas berkenaan dapat merumuskan sesuatu dengan lebih baik untuk masa depan politik Malaysia. Tindakan Perdana Menteri untuk meletakkan SPR bawah Parlimen adalah langkah positif yang saya terima dengan baik, dan saya harap jawatankuasa ini dapat merumuskan sesuatu yang diterima seluruh rakyat, katanya.

Bagaimanapun, ayahnya yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, mempersoal mengapa baru sekarang kerajaan melakukannya. Perkara ini sepatutnya sudah dilaksanakan sejak sekian lama, katanya.

Ahli Parlimen Rasah daripada DAP, Loke Siew Fook, berkata partinya terbuka dengan cadangan itu dan berharap satu mekanisme berkesan diwujudkan bersama kedua-dua pihak.

Babitkan profesional

Pensyarah Kanan Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Paul Porodong, berkata selain ahli politik, SPR wajar dianggotai pihak lain termasuk golongan profesional dan wakil masyarakat pelbagai kaum.

Golongan ini perlu dibabitkan secara langsung untuk menggubal, melaksana dan memantau proses pilihan raya untuk memastikan ia dilaksanakan secara adil dan telus, katanya.

Bagi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Perdana Menteri bersungguh-sungguh melakukan transformasi dalam pilihan raya biarpun SPR terbukti berjaya melaksanakan amanahnya dengan baik.

Tiada ulasan: