Selasa, 25 Jun 2013

Jaga hubungan keluarga

Kata orang, bukan pasangan saja yang dikahwini sebaliknya seluruh anggota keluarga. Namun lazimnya pada awal perkahwinan, semuanya kelihatan indah apabila kita bergaul mesra bersama ahli keluarga suami atau isteri tetapi lama-kelamaan, ada saja yang tidak kena atau kurang disenangi.

Paling ketara, hubungan antara ibu mentua dan ipar-duai. Lumrah kehidupan, pertikaian atau berkecil hati antara ipar-duai sering diperkatakan. Konflik yang tercetus kadangkala membebankan - ibarat bertanam tebu di bibir, namun rebung juga akhirnya berduri di hati.

Secara tidak langsung, perkara itu seterusnya memungkinkan hubungan sesama adik-beradik turut renggang. Perselisihan adik-beradik dan ipar-duai tidak pernah ada noktah dalam sesetengah keluarga. Sekiranya masing-masing menjalankan tanggungjawab dan menghormati hak ahli keluarga lain, pasti perselisihan akan dapat dikurangkan.

Dalam pergaulan, apabila salah seorang daripada kita tidak sopan atau gagal membuat pertimbangan yang adil, maka tercetuslah perselisihan. Tanda perselisihan berlaku antaranya apabila ada yang bermasam muka, tidak mahu bertegur-sapa juga umpatan.

Pergaulan adik-beradik

Adik-beradik wajib hormat antara satu sama lain. Apabila berlaku perselisihan pendapat, jangan jadikan alasan untuk memanjangkan perselisihan di luar waktu perbincangan, tidak terlalu beremosi dan jangan asyik menyalahkan orang lain.

Seharusnya masing-masing muhasabah diri mencari kesilapan sendiri. Merasakan diri selalu betul dan tidak mahu mengalah sebenarnya tanda hati kita tidak bersih kerana mungkin kita yang menjadi pencetus kepada masalah berkenaan.

Nasihat

Jika ada ahli keluarga membuat silap, jalan terbaik memberikan nasihat dengan penuh hikmah, cadangkan penyelesaian selain tunjukkan yang kita prihatin dan sayangkan saudara itu. Cara yang salah apabila kita cuba mempengaruhi ahli keluarga lain dengan cacian, umpatan atau cerita yang ditokok tambah.

Jangan dengki

Jangan ada perasaan iri hati atau dengki sesama adik-beradik. Sekiranya ada adik-beradik yang hidupnya lebih mewah, itu rezeki Tuhan kurniakan padanya. Setiap manusia sudah ditentukan rezekinya oleh Allah, peraturannya adalah berusaha. Bagi mereka yang lebih mewah daripada saudara lain, jangan pula bangga diri sebaliknya harus prihatin dengan saudara itu yang hidupnya susah. Hulurkan bantuan atau sumbangan.

Berkompromi

Harus ada kompromi dalam keluarga. Contohnya, jika ada ibu yang sudah uzur dan hanya seorang anak yang menjaga, sebaiknya adik-beradik meluangkan masa atau bergilir-gilir menjaganya. Hilangkan sedikit beban kakak itu supaya dia juga dapat melakukan perkara lain.

Adil

Adil dalam memberi. Ketidakadilan selalu berlaku antara anak, menantu dan cucu yang paling disayangi serta sebaliknya. Memang pembahagian kasih sayang tidak boleh dipaksa supaya sama rata, tetapi jangan terlalu mempamerkannya kerana nanti ada yang kecil hati.

Setiap ahli keluarga harus dihargai dan disayangi. Begitu juga pemberian barang yang bersifat fizikal, jangan terlalu melebihkan seseorang kecuali atas keadaan tertentu seperti kepada anak atau adik-beradik yang kurang berkemampuan.

Pergaulan

Pergaulan antara adik-beradik, ipar-duai dan biras perlu dijaga sebaiknya. Jika hendak bergurau gunakan bahasa yang sopan dan ingat supaya sentiasa hormat individu lain.

Jangan menunjuk-nunjuk kelebihan kerana ia hanya akan membuat orang meluat. Jangan mempengaruhi ahli keluarga lain supaya bencikan orang itu atau orang ini, nanti keburukan anda terserlah dengan sendirinya. Jika dalam kumpulan tiga orang, jangan bercakap dengan rancak berdua saja sementara seorang lagi terkial-kial sendiri. Tidak perlu iri hati terhadap ipar-duai yang lebih mewah kerana ia akan memakan diri.

Membeli-belah

Antara cara yang boleh dilakukan supaya hubungan antara ipar-duai menjadi akrab adalah dengan pergi membeli-belah bersama. Melalui cara ini, kita dapat mengenali lebih mendalam peribadi ipar itu. Menerusi cara ini juga, kita dapat berkongsi cerita atau pengalaman hidup berumah tangga supaya tidak kekok apabila berjumpa lagi kelak.

Saling memaafkan

Sekiranya ada membuat sebarang kesilapan, cepat mohon maaf kerana ia akan menjernihkan keadaan semula. Cuba bersikap mengalah dan ikhlas supaya dendam tidak bersarang di dalam hati. Sikap begini menjadi faktor penting untuk membina perhubungan yang baik dalam keluarga. Usah mengharapkan adik-beradik kita yang lain untuk memulakan dulu.

Sabar

Belajar bersabar sekiranya sikap adik-beradik kita menyinggung perasaan, mungkin dengan kesabaran kita akan menenangkan keadaan yang sedang tegang. Jangan sesekali kita memendam perasaan jika tidak menyenangi sikap adik-beradik lain. Cuba berbincang dan berterus terang agar masalah yang membelenggu diri dapat diselesaikan, tetapi jangan pula meninggi suara dalam sesi perbincangan berkenaan.

Sentiasa berhubung

Dengan kecanggihan teknologi, telefon medium paling mudah untuk menghubungkan kita dengan saudara lain. Hubungi mereka supaya tahu keadaan terkini diri masing-masing. Tidak rugi berbuat begitu kerana nilai silaturahim antara keluarga sangat berharga dan sukar dicari ganti. Saling ingat-mengingati, menyokong dan menghormati antara satu lain untuk mengekalkan jalinan ukhuwah.

Tiada ulasan: