Khamis, 20 Jun 2013

Labur RM26 bilion

Paris: Syarikat penerbangan tambang murah terkemuka negara, AirAsia Bhd (AirAsia) semalam mengumumkan tempahan tambahan 100 set enjin CFM LEAP 1-A dan CFM56-5B bernilai kira-kira RM26 bilion daripada CFM International bagi meningkatkan keupayaan 100 pesawat Airbus A320nya.

Selain itu, AirAsia turut menandatangani perjanjian penyelenggaraan jangka panjang 20 tahun dengan syarikat perkongsian antara General Electric Co (GE) dan Snecma itu. Sebanyak 64 set enjin ditempah untuk kegunaan pesawat A320neo dan 36 set lagi bagi pesawat A320ceo selain turut menempah lima enjin CFM-56B serta sembilan LEAP-1A sebagai simpanan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar berkata, enjin berkenaan akan diterima secara berperingkat bersama pesawat Airbus A320 hingga 2026 dan ia adalah untuk kegunaan operasi di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Jepun serta India yang bakal bermula akhir tahun ini.

“Pihak kami gembira bekerjasama dengan CFM untuk memperkukuhkan pelan pelebaran perniagaan syarikat dan CFM antara syarikat yang banyak membantu kemajuan AirAsia sejak lebih sedekad lalu,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian berkenaan sempena Pameran Udara Paris di Le Bourget, semalam.

Aireen mewakili AirAsia manakala CFM diwakili Naib Presiden GE, Kevin McAllister. Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun; Pengerusi AirAsia, Datuk Aziz Bakar; Ahli Lembaga Pengarah AirAsia, Datuk Fam Lee Ee dan Presiden merangkap Ketua Eksekutif CFM, Jean-Paul Ebanga.

Aireen berkata, pembelian enjin itu mengambil kira faktor penyelenggaraan dan kos minyak yang lebih murah.

Foto

AIREEN bersalaman dengan McAllister selepas menandatangani kontrak pembelian enjin kapal terbang, semalam.

Sementara itu, McAllister berkata, pihaknya gembira bekerjasama dan menghargai kepercayaan AirAsia terhadap syarikat itu.

“Kami akan berusaha meningkatkan keupayaan produk bagi membuktikan mereka membuat pilihan tepat,” katanya.

Pada Pameran Udara Paris 2011, AirAsia mencipta sejarah apabila menempah 200 set enjin LEAP-1A untuk kegunaan 200 pesawat Airbus A320neo.

Sebagai pengguna terbesar Airbus A320 di rantau Asia Pasifik, AirAsia menggunakan lebih 120 enjin CFM56-5B untuk pesawatnya, manakala 91 lagi belum diterima.

Kelmarin, AirAsia dipilih sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia untuk kali kelima berturut-turut dan tiga lagi anugerah lain kini beroperasi menggunakan 137 pesawat termasuk tiga sewa beli dan bakal mempunyai keseluruhan 475 pesawat menjelang 2026.

Tiada ulasan: