Jumaat, 21 Jun 2013

Mary Elizabeth Donaldson

PADA usia 41 tahun, wanita yang dilahirkan dengan nama Mary Elizabeth Donaldson ini sudah memiliki satu kehidupan yang sempurna. Kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan yang melatari kehidupannya menjadi dambaan jutaan wanita di seluruh dunia.

Daripada rakyat biasa di negara kelahirannya, Australia, Mary bertukar status menjadi Puteri Mahkota Denmark sebaik sahaja mengahwini suaminya, Putera Mahkota Frederik lapan tahun lalu.

Pasangan ini berkenalan pada September 2000 sewaktu Frederik berkunjung ke Sydney untuk menyaksikan temasya Sukan Olimpik.

Hasil perkongsian hidup mereka, pasangan romantis ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Putera Christian, 8, Puteri Isabella, 6, serta Putera Vincent dan Puteri Josephine iaitu pasangan kembar yang kini berusia dua tahun.

"Masa menjadi begitu berharga apabila anda mempunyai anak. Ibu saya akan melakukan apa sahaja untuk anak-anaknya dan itu jugalah yang akan saya lakukan," ungkap Puteri Mary mengenai anak yang dianggap anugerah paling bernilai dalam hidupnya.

Ibarat kisah dongeng dahulukala apabila gadis kebanyakan disunting menjadi suri putera raja, begitulah yang berlaku pada Puteri Mary. Namun, pertukaran status menjadi golongan bangsawan tidak menyebabkan Mary lupa diri.

Sebaliknya, keperibadiannya yang lembut, bersopan santun, matang dan bijak menyesuaikan diri menyebabkan Puteri Mary bukan sahaja disenangi kerabat diraja Denmark bahkan disayangi rakyat negara tersebut.

Keluarga diraja Denmark dalam satu kenyataan yang mengulas hubungan Putera Frederik dengan Mary mengatakan: "Kesemua teman wanita putera yang lain banyak bercakap. Mary, dia hanya tersenyum dan mesra tetapi tidak berkata apa-apa. Disebabkan dia orang asing, Mary bersih. Kami tiada masalah dengannya."

Apa yang pasti, bahasa tubuh yang dipamerkan dalam setiap acara yang dihadiri menjadi bukti Puteri Mary tidak berpura-pura atau sekadar berlakon di hadapan rakyat jelata.

Ikon fesyen

Sifat keibuannya jelas terserlah sekiranya melawat anak-anak kecil di negara mana sekali pun. Memegang tangan, mengusap kepala si kecil dan merendahkan badannya atau bertinggung untuk meraikan kanak-kanak yang ditemui, semuanya dilakukannya.

"Hidup saya bukan satu kisah dongeng, ia sangat nyata. Sepanjang kehidupan yang dilalui saya sentiasa gembira. Bagi saya, kebahagiaan merupakan perkara paling penting untuk dikecapi dalam hidup ini.

"Apabila mencapai usia 40 tahun, anda pasti akan sedar apakah yang dinamakan kehidupan. Jujurnya, saya tidak memikirkan tentang usia fizikal. Cuma, saya rasa sangat bagus menjadi semakin dewasa," ujar Puteri Mary yang menjadi ikon fesyen kerana penampilan hebatnya dalam apa jua persalinan.

PUTERI Mary disambut oleh para jururawat di Hospital Putrajaya, Mei lalu.

Menurut Puteri Mary, setiap kanak-kanak pada satu peringkat pasti mengimpikan untuk menjadi putera atau puteri raja. Ia satu impian dan tidak mustahil menjadi kenyataan.

Dilahirkan pada 5 Februari 1972 di Hobart, Tasmania, Australia, Puteri Mary merupakan anak bongsu daripada empat beradik. Bapanya, Prof. John Dalgleish Donaldson merupakan pakar matematik manakala ibunya, Henrietta Clark Donaldson ialah pembantu eksekutif kepada Naib Canselor Universiti Tasmania.

Puteri Mary mendapat pendidikan awal sekolah rendah di Clear Lake City yang kini di Houston, Texas, Amerika Syarikat kerana mengikut ayahnya yang bertugas di sana.

Apabila pulang ke Hobart, Puteri Mary meneruskan persekolahan di Sekolah Kanak-Kanak Teluk Sandy, Sekolah Rendah Waimea Heights dan Sekolah Tinggi Tarona di Tasmania sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Hobart.

Zaman remaja

Puteri Mary menyambung pengajian di Universiti Tasmania selama lima tahun dan memperoleh dwiijazah dalam bidang perdagangan dan undang-undang.

Antara tahun 1994 hingga 1996, Puteri Mary menghadiri program siswazah dan layak memiliki sijil daripada Persekutuan Pengiklanan Australia dan pemasaran langsung daripada Persatuan Pemasaran Langsung Australia.

Ketika zaman remaja, Puteri Mary aktif melibatkan diri dalam pelbagai jenis sukan dan aktiviti luar kurikulum. Antaranya bermain piano, seruling, klarinet dan bermain hoki serta bola keranjang. Selain itu, Puteri Mary juga gemar menunggang kuda miliknya yang bernama Diana.

Selepas tamat pengajian, Puteri Mary menjadi pelatih pemasaran dan komunikasi di agensi pengiklanan global di Melbourne iaitu DDB Needham dengan memegang jawatan Eksekutif Akaun.

Antara jawatan yang pernah disandang termasuklah Pengurus Akaun di Mojo Partners dan Pengarah Akaun di agensi pengiklanan antarabangsa, Young & Rubican di Sydney.

Puteri Mary turut melibatkan diri dalam bidang hartanah pada tahun 2000 apabila dilantik sebagai Pengarah Jualan Belle Property, sebuah firma yang pakar dalam pengurusan hartanah mewah.

Dua tahun selepas itu, Puteri Mary mengajar bahasa Inggeris di sebuah sekolah perniagaan di Paris, Perancis. Tetapi, selepas berhijrah ke Denmark, Puteri Mary ditawarkan menjadi konsultan projek untuk pemasaran, komunikasi dan pembangunan perniagaan oleh syarikat Microsoft Business Solutions.

Sejak bergelar Puteri Mahkota Denmark, Puteri Mary telah melakukan beberapa siri lawatan diraja antarabangsa. Antaranya menghadiri majlis pengkebumian semula Permaisuri Maria Feodorovna di Denmark dan Saint Petersburg, Rusia.

Pada bulan November 2009, Puteri Mary membuat kejutan apabila melawat tentera Denmark di wilayah Helmand, Afghanistan. Salah satu perhentiannya ialah di Pangkalan Operasi Tentera Armadillo.

KELUARGA bahagia. Puteri Mary bersama suami dan tiga daripada empat anak mereka.

Sebagai penaung Majlis Pelarian Denmark, Puteri Mary melawat Uganda pada tahun 2008, dan timur Afrika (2011) sebagai menyokong usaha mengumpul dana untuk negara tersebut.

Puteri Mary juga banyak memainkan peranan dalam mempromosikan program antibuli berdasarkan model yang dilaksanakan Australia melalui pertubuhan Selamatkan Kanak-Kanak Denmark.

Puteri berambut coklat gelap itu juga melibatkan diri dalam kempen bagi meningkatkan kesedaran terhadap kanser kulit melalui Persatuan Kanser Denmark.

Pada bulan September 2007, Puteri Mary secara rasmi menubuhkan Yayasan Mary dengan modal daripada sumbangan orang ramai dan pihak swasta. Ia bertujuan untuk menuju ke arah kepelbagaian budaya dan menyumbang kepada masyarakat.

Bawa nama negara

"Saya sentiasa merasakan bahawa saya perlu menyokong mana-mana pertubuhan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Ia membolehkan saya menggunakan kemahiran yang ada untuk membantu membawa nama negara dengan baik. Jelas sekali saya telah mendapatkan nasihat, membuat pemerhatian dan belajar daripada kerabat diraja," jelas Puteri Mary dalam satu temu bual bersama akhbar mingguan terkemuka di Denmark, Berlingske pada awal Februari tahun lalu.

Terbaharu pada penghujung bulan Mei 2013, Puteri Mary berkunjung ke Malaysia dalam satu lawatan rasmi ke negara ini.

Antara program yang disertai ialah Konferen Wanita Global ketiga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, lawatan ke Hospital Putrajaya, menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman Projek Jom Mama antara Kementerian Kesihatan dan Novo Nordisk Malaysia serta melawat Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR) di negara ini.

Dalam lawatan empat hari itu, Puteri Mary turut mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di kediaman rasmi Putra Perdana.

Putera Frederik, 43, merupakan pewaris takhta Denmark yang kini diperintah Ratu Margrethe II sekali gus membolehkan Puteri Mary bakal menjadi rakyat Australia pertama bergelar permaisuri di Eropah.

Tiada ulasan: