Jumaat, 21 Jun 2013

Awas buat kanak-kanak yang suka buat mimik comel

Mimik muka comel, gaya manja yang dibuat kanak-kanak ketika bergambar dan dimuat turun ke dalam laman sosial Facebook dan sebagainya boleh mengundang jenayah fidofilia, menurut Pakar Psikologi Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor. Beliau berkata senario kini menyaksikan ramai kanak-kanak yang berusia 13 tahun ke bawah, terutama di bangku sekolah rendah memiliki akaun Facebook sendiri, dan gemar memuat turun gambar mereka dalam pelbagai aksi dan gaya tanpa menyedari mereka mungkin diperhatikan golongan fidofilia. Penghidap fidofilia merujuk kepada mereka yang mempunyai masalah psikologi serta kecenderungan melakukan jenayah seks terhadap kanak-kanak dan golongan ini biasanya bertindak kejam terhadap mangsa bagi mencapai kepuasan.

"Bukan setakat tubuh kanak-kanak, kadang-kadang mimik muka, gaya bibir, gaya lihat kamera juga boleh menjadi perbuatan yang merangsang golongan fidofilia ini. "Dan bukan hanya kanak-kanak perempuan, malahan kanak-kanak lelaki yang bermuka comel dan 'jambu' juga terdedah kepada ancaman mereka," katanya kepada Bernama. Bagaimanapun menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) Polis Diraja Malaysia Asisten Komisioner Hamidah Yunos, sehingga kini di Malaysia belum ada sebarang kes fidofilia yang direkod meskipun ada beberapa kes rogol dan bunuh membabitkan kanak-kanak dilaporkan. "Pesakit fidofilia dikategorikan apabila mereka melakukan perbuatan merogol kanak-kanak lebih daripada beberapa kali.

Kalau hanya satu kali ia tidak dikategori sebagai fidofilia," katanya. Dr Mariani berkata kebanyakan kanak-kanak kini dilihat berlumba-lumba dalam kalangan rakan sebaya untuk mencari populariti diri dengan memuat turun banyak gambar untuk mendapat 'like' paling tinggi. "Mereka (kanak-kanak lelaki dan perempuan ini) hendak popularkan diri sendiri di Facebook. Malah di laman YouTube juga mereka berlumba-lumba memuat turun gambar dan video untuk mendapat hits tertinggi, sedangkan hasil yang mereka perolehi bukan sekadar populariti namun menjejaskan keselamatan diri," katanya. Beliau berkata ancaman golongan fidofilia ini sentiasa ada apatah lagi dalam dunia teknologi maklumat tanpa sempadan yang membolehkan golongan itu mencari mangsa hanya melalui internet.

Katanya ruang yang sentiasa terbuka kepada golongan fidofilia itu perlu diatasi dengan pemantauan berterusan ibu bapa terhadap kanak-kanak bukan sahaja ketika berada di luar, tetapi juga di rumah ketika kanak-kanak menggunakan laman sosial dan internet. Sementara itu Ketua Komunikasi Strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sheikh Raffie Abd Rahman berkata penggunaan internet terutama laman sosial Facebook sebenarnya dihadkan penggunaannya kepada remaja berusia 14 tahun ke atas. Bagaimanapun katanya sistem akses Facebook yang mudah menyebabkan ramai kanak-kanak dapat memalsukan umur mereka untuk mendapatkan akses menggunakan laman sosial terbesar itu.

"Di sinilah pentingnya peranan ibu bapa, mereka perlu memantau anak-anak mereka, terutama dalam penggunaan laman sosial. "Pastikan mengikut syarat, anak-anak yang berusia bawah 14 tahun tidak menggunakan laman sosial, pastikan juga mereka tidak berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali di alam maya," katanya. Beliau berkata SKMM sentiasa berusaha melaksanakan program kesedaran dan pendidikan mengenai keselamatan penggunaan internet untuk membendung penyalahgunaan Internet yang seterusnya mengundang pelbagai ancaman termasuk jenayah fidofilia. - Bernama

Tiada ulasan: