Jumaat, 28 Jun 2013

Konflik Sosial

Bermacam-macam ragam anak muda zaman sekarang boleh bikin kepala pusing. Krisis dalam diri dan masalah yang membelenggu fikiran menjadikan mereka cepat untuk melakukan sesuatu perkara tanpa berfikir panjang. Sudahnya, akhlak dan moral dipinggirkan menjadikan peratusan kes jenayah berkaitan remaja terus meningkat. Disenaraikan antara masalah utama menular dalam kalangan anak muda kini.

Ponteng sekolah

Tak semua pelajar mempunyai tahap kefahaman sama antara satu sama lain. Ada yang lemah dan ada yang cerdik pandai. Punca gejala ponteng berlaku disebabkan pelajar yang lemah sentiasa diabaikan guru menyebabkan mereka hilang minat.

Selain itu, dipandang rendah kerana tidak cemerlang dalam pencapaian akademik turut membuatkan mereka rasa bosan untuk ke sekolah. Jalan pintas, ponteng sekolah dan merayap ke tempat lain seperti kafe Internet dan pusat beli-belah.

Vandalisme

Perbuatan yang merosakkan harta benda awam dipanggil vandalisme. Walaupun pelbagai kemudahan disediakan, malangnya ia sering dirosakkan oleh kelompok anak muda yang tidak bertanggungjawab ini. Bukan nak menyalahkan remaja 100 peratus dalam hal ini tetapi banyak kajian mendapati ia angkara anak muda yang bermasalah.

Dalam kajian turut menyebut kebanyakan remaja melakukan vandalisme akibat dipengaruhi kawan. Demi mengeratkan hubungan antara kawan, mereka sanggup mengikut apa saja disuruh untuk menunjukkan bahawa mereka mementingkan persahabatan itu. Ayuh remaja, anda mampu berubah!

Hamba dadah

Pada usia remaja, kita akan penuh dengan rasa ingin tahu dan mencuba. Apabila disuruh mencuba sesuatu yang baru, ia ibarat mencabar keupayaan diri. Isu ini termasuklah najis dadah. Biarpun mempunyai banyak kegunaan dalam bidang perubatan tetapi jika disalah guna, ia membawa keburukan.

Sikap ingin tahu apakah kesan selepas menggunakannya membuatkan kita lali untuk berfikir ke depan. Malah menurut kajian, remaja yang terbabit dengan dadah mencatat peningkatan mendadak. Sedih!

Rogol

Sejak kebelakangan ini, kes rogol membabitkan remaja sering menjadi tajuk utama surat khabar. Mana perginya akhlak anak muda? Kes rogol yang dilaporkan pada 2010 meningkat sebanyak 31.5 peratus bagi tempoh Januari hingga September berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya dengan lebih 70 peratus membabitkan mangsa berumur 18 tahun ke bawah. Antara puncanya, kemajuan teknologi memberi kemudahan kepada kita untuk akses segala yang dimahukan tanpa batasan.

Bagi sesetengah remaja, mereka menyalahgunakan kemudahan ini untuk mendapatkan gambar dan bahan lucah. Dalam keghairahan mereka menonton video lucah, mereka tidak sedar bahawa mereka menuju ke arah melakukan jenayah seksual.

Buang bayi

Jika 20 tahun lalu, mungkin sukar untuk dengar kes buang bayi tapi kini ia ibarat perkara wajib berlaku setiap hari. Semakin hari masalah ini menjadi serius. Statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan 65 kes buang bayi dicatat pada tahun 2000, meningkat kepada 83 kes pada 2006.

Daripada 83 kes itu, 79 membabitkan pembuangan bayi yang baru dilahirkan dengan empat lagi masih janin. Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 22 kes (2000) dan 24 kes (2006). Statistik ini membuktikan, jumlahnya meningkat setiap tahun. Apa sebabnya?

Golongan ini berpelajaran rendah dan lemah dari segi ilmu pengetahuan. Mengikut kajian, gadis remaja yang terjebak dalam gejala ini tidak berpelajaran tinggi dan ada sesetengah daripada mereka tidak tahu mengenai fungsi bahagian badan dan sistem reproduktif.

Ini sekali gus menyebabkan mereka mudah tertipu oleh individu berniat jahat untuk melakukan hubungan seks tanpa ikatan, seterusnya memungkinkan mereka mengandung. Akhirnya, takut dimarahi ibu atau rasa malu, jalan pintasnya dengan membuang bayi terbabit.

Kesimpulannya, gunalah kelebihan akal untuk masa depan lebih bermakna.

Tiada ulasan: