Khamis, 20 Jun 2013

Pakej Perkahwinan

Kepada anda yang bakal bergelar raja sehari pasti menginginkan hari bahagia yang bakal berlangsung agar menjadi detik yang paling ceria dan paling manis dalam hidup anda. Justeru, persediaan untuk majlis perkahwinan anda perlu diatur dan dirancang dengan sebaik-baiknya agar ia berlangsung dengan jayanya.

Tempahan Pakej Perkahwinan dan sebagainya atau seringkali disebut juga sebagai "weddingplanner" kini menjadi pilihan amat popular di mana sahaja di setiap upacara perkahwinan yang bakal berlangsung. Ia bertujuan membantu setiap bakal pengantin dalam merancang dan menyediakan kelengkapan-kelengkapan dan keperluan untuk melangsungkan upacara perkahwinan. Terdapat banyak syarikat yang menawarkan pakej perkahwinan. Jenis pakej adalah bergantung kepada syarikat.

Namun demikian, untuk memilih pakej perkahwinan yang terbaik setiap bakal pengantin perlu bijak dalam menilai apa sahaja pakej yang ingin dipilih. Bagaimana untuk memilih dan apa yang hendak dipilih? Baiklah, secara mudahnya anda boleh mencuba untuk membuat beberapa perbandingan di antara sebilangan pakej perkahwinan yang ada ditawarkan di pasaran. Untuk membuat pilihan apa yang perlu dipastikan dan dititik beratkan adalah kualiti serta kos yang berpatutan.

Jika disebut soal kualiti maka ia juga seringkali berkait rapat dengan kos serta kuantiti dalam pakej yang ditawarkan. Adakah anda akan membayar lebih untuk mendapatkan sesuatu pakej perkahwinan yang kurang kualiti berbanding dengan pakej lengkap yang lebih berkualiti ?

Cuba anda lihat pada pakaian pengantin dan kelengkapan dan hiasan lainnya seperti aksesori, busana samada tradisional atau moden, bilik tidur pengantin, persandingan/ pelamin, gubahan hantaran/ bungatelur, hidangan untuk pengantin/ makanan, susun atur, khidmat fotografi dan sebagainya. Adakah ia mempunyai kualiti seperti yang anda harapkan ?

Apa pilihan anda ? ...

Sebagai contoh, anda diberikan 2 pilihan untuk memilih pakej perkahwinan, kesemuanya menawarkan pakej dengan harga yang sama seperti berikut :

Baju Pengantin, Solekan & Andaman, Set Bersanding & Jurugambar. Bagaimana untuk membuat pilihan terbaik dan bijak? Untuk itu ,anda amat dinasihatkan supaya meneliti setiap pakej yang ditawarkan dan membuat perbandingan bagi mendapakan khidmat yang terbaik.

Apa yang anda perlukan adalah hanya sedikit penelitian terhadap kandungan perkhidmatan yang terkandung di dalam pakej. Contohnya, lebih baik memilih set baju pengantin yang baru dari set lama, lusuh dan rosak. Untuk khidmat solekan dan andaman, pakej yang menyediakan mak andam yang lebih berpengalaman dan bersesuaian dengan keinginan anda haruslah menjadi pilihan .

Contoh pelamin yang menarik

Bagi set bersanding pula, pastikan anda memilih set yang mempunyai peralatan yang paling lengkap dan menarik. Begitu juga dengan jurufoto, buat sedikit survey terhadap jurufoto yang bakal anda pilih dan pastikan mereka berpengalaman dan professional atau anda akan kehilangan peluang merakamkan detik-detik bahagia &  bersejarah dihari persandingan nanti.

Contoh gubahan hantaran menarik

 

Kebiasaannya kebanyakan syarikat menyediakan pakej yang lengkap dan justeru sekiranya anda tidak mempunyai masalah berkenaan bajet, anda adalah disyorkan untuk memilih pakej perkahwinan yang lebih lengkap, ia lebih mudah, menjimatkan masa malah sebenarnya ia lebih menjimakan wang.

Misalnya, daripada memilih pakej perkahwinan yang hanya menawarkan 4 kandungan pakej seperti Baju Pengantin, Solekan & Andaman, Set Bersanding & Jurugambar bukankah lebih baik jika anda memilih pakej yang lebih lengkap malah lebih memudahkan urusan anda. Contohnya, pakej yang menawarkan servis tambahan seperti pembuatan kad kahwin, katering, khemah/kanopi, jurugambar & video serta tempahan dewan, kursus perkahwinan, pemeriksaan perubatan, perlindungan insuran, perkhidmatan perancang perkahwinan dan sebagainya.

Namun, sekiranya anda kekurangan bajet dan cuba berjimat dengan memilih kombinasi syarikat yang menawarkan perkhidmatan termurah, ataupun anda sudah mempunyai perkhidmatan pilihan anda sendiri (contohnya anda ingin menggunakan mak andam pilihan anda) cuba berbincang dengan syarikat terbabit agar dapat mengecilkan saiz pakej mengikut pilihan anda untuk mendapatkan harga yang lebih murah.

Walau apapun, tidak kira apa sahaja pakej yang akan anda pilih, rancanglah terlebih dahulu perkahwinan anda sebaik-baiknya, sentiasa kawal perbelanjaan dan tetapkan bajet anda, jika tidak anda pasti dianggap boros dan tidak bijak berbelanja.

Ya, tidak ada salahnya jika anda ingin berbelanja lebih kerana bak kata orang ia hanya berlangsung sekali seumur hidup, tetapi ingat anda perlu sentiasa bijak memilih dan merancang kerana untuk melayari bahtera perkahwinan dan rumah tangga memerlukan kesemua aspek ini.

Kami sentiasa doakan kesejahteraan kesemua bakal pengantin, mudah-mudahan anda berbahagia selamanya.

Tiada ulasan: