Selasa, 22 Januari 2013

Projek hartanah kediaman bertanah catat prestasi baik

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Projek hartanah kediaman bertanah di Malaysia akan terus mencatatkan prestasi baik tahun ini kerana permintaan masih 'panas', kata HwangDBS Vickers Research Sdn. Bhd.

Ini susulan kehadiran lebih 600 orang yang menghadiri fasa tiga undian Lakeside Residence Glomac Bhd. pada Jumaat lepas, lebih berganda daripada yang dicatatkan dalam pelancaran fasa dua pada September.

Minat memberangsangkan yang ditunjukkan itu adalah hasil daripada lokasi strategik, peningkatan permintaan bagi pembangunan kediaman berpagar dan berkawal dengan kemudahan serta harga menarik, kata HwangDBS dalam satu nota penyelidikan.

"Kehadiran yang ramai itu merupakan bukti permintaan kukuh terhadap hartanah kediaman bertanah, meskipun harga yang meningkat sejak dua hingga tiga tahun lepas dan berian pinjaman yang lebih ketat.

"Harga dijangka meningkat, walaupun lebih sederhana, disokong peningkatan kos tanah dan pembinaan serta bekalan baharu yang semakin berkurangan," kata firma penyelidikan itu.

HwangDBS menyatakan pemaju dengan pendedahan besar kepada hartanah kediaman bertanah, perumahan besar-besaran (kurang daripada 500,000) dan lokasi utama dijangka mencatatkan prestasi baik.

Ia berkata antara syarikat yang bakal mendapat faedah besar daripadanya ialah Glomac, Hua Yang Bhd., MKH Bhd., Mah Sing Group Bhd., IJM Land Bhd. dan SP Setia Bhd. - BERNAMA

Tiada ulasan: