Jumaat, 11 Januari 2013

‘Kahwin 5’, Filem Komedi Tiada Lucunya

FILEM: Kahwin 5 - Miang Lawan Pailang

ARAHAN: Nizam Zakaria

LAKONAN: Usop Wilcha, Fizz Fairuz, Dian P. Ramlee, Norish Karman, Anzalna Nasir, Adrea Abdullah, Marsha Londoh

GENRE: Komedi, kekeluargaan

DURASI: 1 jam 21 minit

EDARAN: United Studios

TAYANGAN: Bermula 27 Disember 2012

Sebahagian pelakon Kahwin 5 (dari kiri) Anzalna Nasir, Norish Karman, Usop Wilcha dan Adrea bersama pengarah Nizam Zakaria dan penerbit Jaja Nadzir.

APABILA sebut pasal topik ‘bermadu’, filem arahan seniman agung Tan Sri P. Ramlee iaitu Madu Tiga pantas adegan-adegannya menerpa minda.

Begitu kuat impak naskhah komedi terbitan 1964 itu, ia terus segar dan ‘hidup’ dalam ingatan sekalian penggemar filem Melayu sehingga kini.

Justeru, apa jua karya yang menyusul selepas itu, perbandingan dengan filem tersebut tidak boleh dielakkan.

Hal sama terjadi kepada filem kedua pengarah baru Nizam Zakaria yang berjudul Kahwin 5.

Lihat pada tajuk sahaja, sesiapa pun dapat menduga filem ini berkaitan dengan kehidupan hidup bermadu.

Pemilihan tema yang bersifat matang dan dewasa ini sememangnya satu pendekatan yang berlainan daripada persembahan lazim majoriti pengkarya kita.

Inisiatif Nizam mengangkat subjek itu wajar dipuji biarpun persembahan filem ini tidak semantap yang diharapkan.

Tanpa perlu kita membuat perbandingan, apa yang dipaparkan dalam Kahwin 5 baik pada plot atau komedinya boleh dianggap baik tetapi longgar.

Longgar yang dimaksudkan di sini adalah naratif dan skrip yang kurang kemas serta elemen komedi yang sederhana.

Bukan komedi tidak menjadi tetapi mungkin pada kebanyakan waktu, jenaka yang ditawarkan klise dan sudah diramalkan terlebih awal.

Para pelakon yang menggalas watak masing-masing juga beraksi pada tahap sederhana.

Usop Wilcha yang merupakan nadi filem ini memainkan peranannya dengan baik sebagai usahawan Dr K.

Penterjemahan Usop yang digambarkan sebagai lelaki beristeri empat yang miang agak meyakinkan walaupun ia boleh menjadi lebih baik dengan bimbingan lakon layar yang terperinci.

Setidak-tidaknya, penonton dapat melihat lakonan Usop yang ‘lari’ daripada stail komedi klisenya sebelum ini.

Pun begitu, penonjolan Usop itu tidak diimbangi dengan baik oleh empat aktres yang menggalas watak isteri Dr K iaitu Saadiah(Dian P. Ramlee), Sahara (Adrea Abdullah), Monalisa (Norish Karman) dan Mimi (Marsha Londoh).

Filem kedua arahan Nizam tidak sebaik karya pertamanya, Cinta Kura-Kura.

Karisma Dian bagai dicuri oleh kekalutan lakonan tiga lagi aktres iaitu Adrea Abdullah, Norish Karman dan Marsha Londoh.

Sementara kehadiran Anzalna sebagai Farra dilihat bagai mengisi senarai pelakon dan Fizz Fairuz (Rahim) serta Soffi Jikan (Cico) pula ‘tersekat’ dengan lakonan yang sudah berpuluh kali dipertontonkan pada filem atau drama lain.

Momentum cerita yang huru-hara ini semakin merosot dan menjadi terburuk pada babak akhir iaitu pernikahan paksa antara Dr K dan Farra.

Mungkin kerana terlalu mahu menyuntik komedi, pengarahnya terlepas pandang bahawa himpunan semua karakter di penghujung babak itu bagaikan babak di pasar borong.

Lucunya tak terasa, yang nampak hanya kelam-kabut dan kekecohan.

Secara ringkas, filem komedi ini mengisahkan usahawan mangkuk plastik bernama Dr K lakonan Usop Wilcha yang hidup bahagia bersama empat isteri iaitu Saadiah (Dian P. Ramlee), Sahara (Adrea Abdullah), Monalisa (Norish Karman) dan Mimi (Marsha Londoh).

Bagaimanapun, kedatangan Dr. K bersama pemandu peribadinya Rahim (Fizz Fairuz) ke cawangan syarikatnya di Johor Bahru, Johor atas urusan kerja bertukar menjadi kemelut hitam yang memporak-perandakan hidupnya.

Gara-gara sikap mata keranjangnya, Dr K terjebak dalam masalah besar apabila dia bertemu setiausaha jelita bernama Farra (Anzalna Nasir).

Tiada ulasan: