|  | 
| ALI  (kiri) bersalaman dengan  sebahagian  penjawat awam pada majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara  2013 di PICC, Putrajaya semalam. | 
PUTRAJAYA - Kerajaan dijangka mengumumkan penetapan gaji dua hingga  lima peratus bagi penjawat awam yang sudah mencapai tahap gaji maksimum  atau 'gaji mati' pada Februari ini, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk  Seri Ali Hamsa.
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membuat kajian  teliti bagi menangani masalah penjawat awam yang berprestasi baik dan  cemerlang dengan markah 80 peratus ke atas dalam Laporan Nilaian  Prestasi Tahunan (LNPT) mereka tetapi sudah mencapai gaji maksimum dan  tidak memperoleh kenaikan pangkat kerana tiada kekosongan. 
"Saya tidak mahu melihat penjawat awam yang menjalankan tugas dengan cemerlang mendapat gaji statik. Ini yang saya mahu atasi.
"JPA sedang memuktamadkan senarai yang ada. Mereka sedang meneliti  rekod perkhidmatan. Selalunya akan ada kenaikan biasa gaji, tetapi dalam  kes ini kita mahu selesaikan kes mereka yang sudah mencapai tahap  statik.
"Kami perlu berbincang dengan Perbendaharaan mengenai implikasi  kewangan. Kerajaan amat positif mengenainya. Mereka faham gaji statik  bukannya jawapan kepada penjawat awam yang berprestasi cemerlang,"  katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Sebelum itu, Ali menyampaikan amanat kepada kira-kira 4,000 penjawat  awam daripada pelbagai kementerian dan jabatan di Pusat Konvensyen  Antarabangsa Putrajaya. Majlis yang dilaksanakan menerusi sidang video  itu turut boleh disaksikan penjawat awam di seluruh negara. 
Dalam amanatnya, Ali menyarankan penjawat awam turut memainkan  peranan dalam sektor luar negeri khususnya untuk memahat nama Malaysia  di persada antarabangsa. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan