Khamis, 31 Januari 2013

Baca al-Quran bantu lebih fokus

Kota Bharu: “Amalan membaca al-Quran, berpuasa sunat dan solat hajat membantu saya lebih fokus serta tenang menghadapi peperiksaan,” kata pelajar terbaik Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu, Wardah Mat Ali, 19, yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), semalam.
Wardah memperoleh Mumtaz untuk mata pelajaran Hifz al-Quran dan Tajwid, Fiqh, Tauhid dan Mantiq, Tafsir dan Ulumuhu, Hadith dan Mustolah, Nahu dan Sarf, Adab dan Nusus, ‘Arudh dan Qafiyah, dan Balaghah, manakala dalam mata pelajaran Insya’ dan Mutala’ah, dia memperoleh Jayyid Jiddan.
Anak keenam daripada tujuh beradik itu turut menjadikan contoh kejayaan dua abang dan tiga kakaknya melanjutkan pengajian di Mesir, Madinah dan Maghribi sebagai pendorong dan pembakar semangatnya untuk memperoleh kejayaan.
Berkongsi tips kejayaannya, anak pasangan Mat Ali Ngah, 54, dan Noriah Ismail, 53, dari Kampung Bayam di sini, berkata, dia memberi 100 peratus tumpuan ketika sesi pembelajaran selain kerap bertanya soalan kepada guru jika tidak faham.
“Saya membuat latih tubi bersama rakan dan belajar berkumpulan. Bagi membantu meningkatkan daya ingatan, saya amalkan memakan kismis serta kurma yang sememangnya baik untuk kesihatan,” katanya yang memperoleh 10A 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia sebelum ini.

Tiada ulasan: