Khamis, 17 Januari 2013

Mahkamah Agong arah tangkap Perdana Menteri

Undang-undang di Pakistan tidak mengenal pangkat dan kedudukan. Ketua Hakim Mahkamah Agong Pakistan telah mengarahkan supaya Perdana Menteri Pervez Ashraf berhubung dengan kes pembelian janakuasa semasa Pervez menjadi Menteri Air dan Tenaga suatu ketika dahulu. Jika itulah yang berlaku di Pakistan ia menunjukkan yang tidak ada siapa yang terlepas dari tindakkan undang-undang jika melakukan kesalahan.
Ia menunjukkan yang tiada ada siapa yang mempunyai immuniti jika melakukan kerja hina rasuah itu kerana ia melibatkan wang keringat rakyat yang mengisi perbendaharaan negara itu. Jika itulah yang juga berlaku di negara ini ia sudah tentu akan memberikan lebih keyakinan terhadap badan kehakiman dan undang-undang negara yang menjadikan kerja yang ‘criminal’ seperti rasuah itu amat dibenci oleh sistem demokrasi dan kehidupan moden di zaman ini.
Sesungguhnya tindakan yang lebih kuat perlu diambil jika kesalahan itu dilakukan oleh pemimpin kerana jika pemimpin ketagih dengan rasuah yang akan menderita adalah rakyat seperti yang kita rasai sekarang ini. Kita pernah mempunyai sistem undang-undang yang bebas dari ancaman pihak kerajaan serta eksekutif, tetapi keadaan itu sudah menjadi sejarah kerana sistem kebebasan kehakiman telah dicerobohi oleh pihak eksekutif semasa pentadbiran Dr Mahathir dahulu.
Sebenarnya inilah salah satu impian ramai di antara kita untuk dilakukan oleh pimpinan alternatif jika diizin Tuhan untuk mendapat mandat rakyat nanti. Isu ini perlu kita semua memberikan tumpuan jika pihak alternatif mendapat membentuk kerajaan Persekutuan kerana dengan sistem yang setelus ini maka akan hilang segala syak wasangka terhadap ketelusan kerajaan. Rakyat akan lebih berkeyakinan yang mereka yang diberi mandat itu akan melakukan perkara yang begitu hina di sisi agama dan moral pentadbiran sesebuah kerajaan.
Kita merasakan yang memberikan mandat kepada pihak ‘alternative’ ini nanti diharapkan akan melakukan apa yang dilakukan oleh kerajaan Pakistan itu. Jika sistem ini dapat diimplimentasikan di negara ini nanti, tidak akan timbul isu tanah kerajaan dijual oleh pihak kroni yang berkuasa walaupun tanah itu belum dipindah milik kepada si penjual tanah itu. Apa yang berlaku di antara Kementerian Pertahanan, Lembaga Tabung Angkatan Tentera serta Astacanggih dan syarikat seorang pemimpin wanita Selangor itu tidak akan berulang.
Tidak akan berlaku syak wasangka rakyat terhadap isu seperti isu pembelian Scorpene yang telah dibeli dari DCNS Perancis beberapa tahun dahulu. Jika undang-undang benar-benar berjalan dengan telus tidak akan ada yang berani melakukan rasuah dalam skandal pembelian Scorpene ini dengan pembayaran komisyen yang begitu tinggi terhadap pihak kroni yang sedang berkuasa dalam negara kita. Jika tidak ada isu Scorpene tidak akan ada isu yang melibatkan pembunuhan sesiapa seperti yang berlaku dalam negara kita.
Dalam kes pembelian janakuasa oleh Kementerian Air dan Tenaga Pakistan ini ia telah melibatkan seramai 16 orang dalam isu ini dan Mahkamah Agong Pakistan telah mengarahkan kesemua mereka ditangkap dan menghadapi tuduhan di Mahkamah. Jika etika dan moral perundangan ini dapat dilaksanakan di negara ini maka tidak lagi lah riuh rendah politik akan berterusan seperti yang kita hadapi sekarang ini.
Itulah sebabnya kita perlu memberikan tumpuan tentang isu sebegini dan untuk membina harapan untuk mendapatkannya maka pilihan yang betul oleh rakyat dalam pilihanraya nanti amat diperlukan.
Kita telah membuat berbagai-bagai usaha untuk pihak yang berkuasa sekarang untuk melakukan perubahan dan menerima hakikat yang sistem undang-undang yang telus adalah kemestian bagi negara kita, tetapi desakan ramai tidak dipedulikan oleh mereka (pemerintah).
Justeru memberikan mandat kepada pihak ‘alternative’ merupakan satu-satunya jalan yang perlu kita lakukan untuk mengharapkan perubahan ke arah ini terlaksana. Sesungguhnya kita amat terdesak untuk mendapatkan sistem kehakiman yang benar-benar telus dan apa yang berlaku di Pakistan itu patut dijadikan contoh ikutan kita di sini.
Ini bukan isu membalas dendam. Ini masalah undang-undang. Selagi kita hidup kita wajar dikandung undang-undang. Tidak ada siapa yang bebas seperti haiwan di hutan yang boleh melakukan apa-apa yang dikehendaki mereka (haiwan).

Tiada ulasan: