
MEMANG benar, kasut bertumit tinggi  pelengkap gaya seseorang wanita. Selain rekaannya yang cantik, kasut tumit  tinggi membuatkan wanita berdiri dengan gaya menawan berbanding berkasut  rendah. 
Malah ia menambah sentimeter pada si  pemakai agar kelihatan setanding dengan supermodel yang berjalan di pentas  peragaan. Sekali gus, ia meningkatkan keyakinan diri dan membuatkan si  pemakainya lebih menarik. 
Realitinya, tiada yang baik mengenai  kasut tinggi kecuali rekaannya. 
Apa yang wanita tidak sedar atau  pura-pura tidak sedar, pemakaian kasut tinggi merosakkan badan mereka.  
Selain kecenderungan yang tinggi  untuk terseliuh di bahagian buku lali, pelbagai lagi masalah disebabkan oleh  kasut bertumit tinggi seperti radang saraf dan ligamen, sakit pada belakang buku  lali, otot betis memendek dan sakit belakang yang kronik. 
MasalahPengarah Urusan MyOrtho dan  Pakar Orthotik dan Prostetik, Edmund Lee berkata, kaki adalah asas badan yang  perlu dijaga dengan betul agar tidak mengganggu sistem lain yang menjejaskan  kesihatan. 
"Masalah yang sering dihidapi mereka  yang gemar berkasut tumit tinggi antaranya bunion (hallux valgus) iaitu ibu jari  kaki masuk ke dalam ke arah jari kedua lalu menyebabkan benjolan pada bahagian  luar kaki di sebelah ibu jari kaki. 
"Ini akan menyebabkan rasa tidak  selesa timbul terutamanya ketika memakai kasut yang bertutup di hadapan dan  runcing sehinggakan ada kes memerlukan pembedahan, bergantung kepada  tahapnya. 
"Tekanan berat badan pada hujung kaki  juga akan menyebabkan jari ketiga dan keempat menyempit lalu menyebabkan  kesakitan pada saraf. 
"Keadaan itu juga akan menyebabkan  darah tidak dapat bergerak dengan betul kerana tersekat lalu menyebabkan  kesakitan. 
"Betis turut akan memendek dan tegang  akibat tumit tertolak ke atas dan akibatnya kaki sering mengalami kekejangan dan  sakit di bahagian tumit," ujarnya yang baru-baru ini mengadakan Karnival  1Malaysia Kaki dan Tulang Belakang Sihat di Tropicana City Mall, Petaling Jaya.  Karnival itu bertujuan meningkatkan kesedaran penjagaan kaki dan tulang belakang  di Malaysia. 
Menurut Edmund, kulit di beberapa  bahagian kaki yang sering menerima tekanan akan mengeras seperti di bahagian  tapak kaki, di bawah jari serta bahagian tepi hujung kaki. 
Lutut pula akan mula sakit kerana  kasut tinggi menyebabkan badan tidak stabil lalu lutut digunakan untuk  menyeimbangkan badan. 
Kasut tumit tinggi turut menyebabkan  kesakitan akibat saraf bengkak atau menebal pada bola kaki yang digelar morton's  neuroma, pembesaran tulang di belakang tumit (kecacatan haglund) dan jari  bengkok (claw hammer). 
Selain bahagian kaki, masalah serius  yang dihidapi oleh si pemakai kasut bertumit tinggi yang tegar ialah sakit  bahagian tulang belakang. 
Menggunakan kasut tumit tinggi akan  menyebabkan pinggul condong ke depan dan menambahkan lengkungan pada tulang  belakang. 
Tulang belakang akan miring ke  belakang bagi menyokong keseimbangan badan lalu memberikan tekanan pada tulang  belakang. 
Pencegahan Terang Edmund, tidak salah  jika tidak mahu ketinggalan mengikuti perkembangan fesyen berkasut tumit tinggi  asalkan tidak memakainya dalam tempoh yang lama dalam satu masa dan mengamalkan  pelbagai langkah penjagaan seperti senaman kaki selepas berkasut tumit tinggi.  
"Seelok-eloknya, kasut bertumit  tinggi hanya dipakai pada majlis tertentu untuk tempoh beberapa jam sahaja.  
"Beri sokongan yang lebih terhadap  tapak kaki dengan memilih kasut tinggi yang mempunyai tapak berbentuk atau  menggunakan lapik dalam kasut khas mengikut bentuk kaki sendiri. 
"Kasut bertumit tinggi yang melebihi  empat inci ketinggiannya amat bahaya kepada kaki dan tulang belakang di samping  menjejaskan keselamatan si pemakai," ujarnya. 
Ketinggian yang sesuai dengan bentuk  kaki sebenarnya paling maksimum setinggi 1.5 inci sahaja untuk kegunaan dalam  tempoh lama. 
Ujarnya lagi, senaman dan regangan  amat perlu terutamanya bagi mereka yang sering menggunakan kasut tumit tinggi  setiap hari seperti model dan pramugari. 
Senaman dilakukan dengan melunjurkan  kaki dan mengangkat hujung kaki beberapa kali bagi memberi kelegaan pada buku  lali. 
Regangan kaki terutama pada bahagian  betis boleh dilakukan dengan menjarakkan kaki ke bahagian sisi dan menekannya ke  bawah beberapa kali. 
Juga digalakkan bertemu dengan pakar  orthotik dan prostetik bagi menjalani rawatan manipulasi kaki bagi membetulkan  tulang yang sering bergesel bagi mengurangkan geseran. 
"Apa pun, penjagaan kaki dari awal  amat penting supaya tidak memudaratkan ketika tua," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan