Rabu, 2 Januari 2013

Ilmu Allah

Ilmu dari Allah terlampau banyak. Di luar sana ada banyak 'Master Trainer' yang masing-masing membawa mazhab trainingnya sendiri. Pengalaman sendiri, belajar dari mentor yang berlainan dan ilmu yang diperolehi dari membaca buku tertentu yang menjadikan setiap sekolah training mempunyai sedikit ataupun banyak perbezaan.
Sama ada kita belajar dari semua sekolah training yang berbeza itu, ataupun pilih sekolah training yang memenuhi keperluan kita. Setiap sekolah training mempunyai kejayaan yang berbeza.
Imam Syafie juga menuntut dengan banyak alim ulama sebelum beliau menuntut ilmu dengan Imam Maliki. Akhirnya beliau menghasilkan kitab-kitab yang akhirnya pengikut dan masyarakat menamakan ilmu yang diajarkan oleh beliau sebagai Mazhab Syafie.
Contohnya Imam Maliki ada hujah, sebab apa beliau tidak menjadikan doa qunut sebagai sebahagian dari solat subuh. Imam Syafie juga ada hujah, sebab apa beliau menjadikan kemestian membaca doa qunut dalam setiap solat subuh. Walaupun Imam Syafie itu pernah menjadi anak murid Imam Maliki dan tinggal bertahun-tahun di rumah Imam Maliki bagi mempelajari ilmu.
Setiap sekolah training juga ada hujah dan sokongan fakta kenapa mereka menggunakan ataupun meninggalkan sesuatu tindakan dalam sesi latihan mereka.
Begitu juga dengan sekolah training saya, memulakan majlis dengan memohon maaf dari peserta ataupun audien adalah satu kemestian, walaupun tidak membuat salah di atas sokongan maklumat dan pengalaman yang kami miliki.
Sebahagian besar trainer barat juga mempunyai hujah apabila mengatakan, menyebut minta maaf di dalam sesi ceramah ataupun latihan adalah tidak profesional.
Sebahagian trainer tempatan juga mempunyai hujah, apabila tidak membenarkan menyebut minta maaf sewaktu menyampaikan ceramah ataupun sesi latihan, berdasarkan hujah ataupun ilmu yang mereka sandarkan.
Imam Syafie apabila pergi ke tempat pengikut Allahyarham Imam Maliki, dan disuruh menjadi imam solat subuh, beliau tidak membaca doa Qunut. Ini kerana bagi MENGHORMATI ILMU Imam Maliki, kerana membaca qunut itu bukan sampai menjadi perkara yang 100% wajib.
Kesimpulannya, kepada para penceramah dan trainer baru yang dirahmati Allah lagi sayangi Nabi, pilih mazhab (fahaman) training yang kita rasa sesuai dengan gaya kehidupan kita asalkan ianya tidak menyalahi hukum Agama.
Elakkan dari mengatakan ilmu orang lain salah terutama dalam hal yang tidak dapat disandarkan kepada ayat al Quran yang spesifik dalam Al Quran dan Hadis.
Belajar, dan pratikkan ilmu yang kita pelajari. Lain sekolah, lain pula ajarannya. Hormati seperti mana Imam Syafie menghormati pengikut Imam Maliki.

Tiada ulasan: