 SUDAH menjadi persepsi ramai bahawa sukan berkuda sering dikaitkan  dengan status sosial seseorang  kerana kuda sinonim sebagai lambang  kemegahan.
SUDAH menjadi persepsi ramai bahawa sukan berkuda sering dikaitkan  dengan status sosial seseorang  kerana kuda sinonim sebagai lambang  kemegahan. Bagaimanapun, hari ini persepsi seperti itu seharusnya  dikikis  memandangkan semakin banyak pusat sukan berkuda boleh disertai orang  ramai pada harga berpatutan.
Apatah lagi, sukan berkuda bukan sahaja menjadi satu rekreasi yang menyihatkan tubuh, bahkan mental seseorang.
Disebabkan itu, Kelab Ekuestrian Asia (AEC) dan sebuah syarikat  berpengkalan di United Kingdom, Oxcell Inspire mengasaskan program  kepimpinan berkuda yang pertama di Asia. Program Kecemerlangan  Kepemimpinan Berkuda Al-Muharib (KKBA) itu dicetuskan bagi memecahkan  batasan keupayaan manusia menerusi penguasaan kawalan pergerakan kuda  dan komunikasi antara penunggang dengan haiwan pantas itu.
Presiden AEC Malaysia, Datuk Dr. Nek Abd. Rahman Saleh berkata,  program tersebut menerapkan pelbagai nilai tambah bagi menyerlahkan  sifat khalifah dalam diri pesertanya.
“Apabila anda menunggang kuda, fikiran akan menjadi lebih fokus  kerana minda akan dilatih untuk menumpukan perhatian terhadap cara  menstabilkan diri agar tidak jatuh dan pada masa yang sama berupaya  mengawal pergerakan kuda.
“Kuda mengajar penunggangnya untuk tidak berputus asa dan teruskan  mencuba sehingga berjaya. Ia diibaratkan semangat juang seorang  pahlawan,” katanya ketika ditemui di Institut Penyelidikan dan  Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Serdang, Selangor baru-baru ini.
Latihan tersebut berjaya melatih individu berkenaan untuk lebih  bersemangat  dengan tindakan dan keputusan yang perlu diambil pada masa  akan datang.
Pada masa sama, aktiviti menunggang kuda turut menerapkan nilai  kerjasama berkumpulan, semangat juang ketika bekerja, kaedah  berinteraksi yang berkesan dan pergaulan rapat dalam kalangan peserta  program.
“Kuda juga boleh membantu seseorang membina keyakinan diri menerusi  kejayaan mereka mengawal pergerakan kuda yang sukar pada awalnya.  Kombinasi pergerakan badan, rentak tunggangan kuda dan suhu sekeliling  pula membantu keupayaan tubuh memulihkan sistem saraf dalam badan si  penunggangnya,” katanya.
Pendiam jadi periang
Individu yang pendiam dan sukar menyesuaikan diri dengan individu lain boleh mencuba rawatan terapi terkini menggunakan kuda.
Mereka akan diajar cara untuk berkomunikasi dengan kuda bagi mendapatkan keserasian antara penunggang dengan seekor kuda.
Lama-kelamaan, peserta yang mengalami masalah pendiam atau lebih  dikenali sebagai introvert ini berubah menjadi seorang yang mudah  bergaul dengan orang lain.
Menurut Pensyarah Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam  Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud, seorang yang introvert  suka memendam perasaan dan bersikap mendiamkan diri.
“Masyarakat boleh mengajak individu yang pendiam untuk bergaul  seperti berborak dan menjalankan aktiviti bersama-sama. Perkara tersebut  dapat membantu mereka berubah sedikit demi sedikit,” katanya ketika  dihubungi baru-baru ini.
Kepimpinan berkuda
Di Eropah, program kepimpinan berkuda diwujudkan untuk menunjukkan  betapa kelakuan seseorang mempengaruhi tindak balas sebenar haiwan atau  individu lain dalam dunia nyata.
Latihan tersebut membolehkan pesertanya mengamalkan tingkah laku yang  lebih konstruktif, seterusnya membantu mereka membina hubungan yang  lebih akrab dengan orang lain serta menggalakkan peningkatan prestasi di  tempat kerja.
Berbeza dengan manusia, seekor kuda tidak memiliki niat tersembunyi di sebalik setiap perlakuannya.
Kuda akan bertindak balas terhadap apa yang dilihatnya. Ia  menggunakan emosi dan pergerakan fizikal bagi menunjukkan perasaannya  kepada situasi yang dialaminya pada ketika itu.
Jurulatih kepimpinan berkuda di Eropah mempercayai sikap seseorang  terhadap kuda mencerminkan sikap mereka bergaul dengan makhluk lain.
Lazimnya, latihan bersama  kuda dapat membantu seseorang meningkatkan  keupayaan berkomunikasi secara berintegriti, jelas dan mudah mendapat  perhatian.
Sikap kepekaan kuda mengajar penunggangnya cara untuk menjadi  ketua  yang mampu berkomunikasi dengan efektif dan membentuk kerjasama antara  anggota bagi mencapai kecemerlangan pentadbiran sesebuah organisasi.
Dalam pada itu, KKBA yang mula bertapak di Malaysia pula menggunakan  khidmat jurulatih bertaraf antarabangsa bagi memastikan peserta program  tersebut menerima pendedahan terbaik tentang prinsip yang hendak  diterapkan.
“Al-Muharib mempunyai seorang ketua jurulatih yang berpengalaman  melatih kuda dalam sukan  Olimpik manakala lima orang lagi merupakan  jurulatih tempatan yang memiliki sijil pengiktirafan antarabangsa,”  katanya.
Badan korporat atau organisasi yang berminat boleh menghubungi AEC di talian 03-4142 7958 untuk sebarang maklumat lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan