|  | 
| Penentang Presiden Mohamed Mursi bertempur dengan pasukan polis (tidak kelihatan) semasa mengadakan tunjuk perasaan di Port Said | 
KAHERAH 28 Jan. - Perintah berkurung dikuatkuasa di tiga wilayah di  Terusan Suez, hari ini selepas Presiden Mesir mengisytiharkan perintah  darurat di wilayah-wilayah itu ekoran keganasan terus memuncak di negara  ini, sejak hujung minggu lalu yang mengorbankan lebih 50 orang.
Tindakan Presiden Mohammed Mursi itu mengingatkan tindakan yang  pernah digunakan oleh bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak ketika  mengekang kumpulan penentang di negara ini semasa kebangkitan rakyat  yang akhirnya membawa kejatuhan Hosni.
Namun, tunjuk perasaan kali ini tercetus sebagai membantah dasar  Islam yang dibawa oleh kerajaan pimpinan Mursi dan perubahan yang  didakwa terlalu perlahan di negara ini.
Mursi yang berang dengan keadaan yang berlaku, berikrar ketika  berucap di televisyen, semalam dengan menyatakan bahawa beliau tidak  akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih keras bagi membendung  keganasan di seluruh negara ini.
Mursi menegaskan bahawa beliau akan memastikan negara ini tidak akan kembali kepada kerajaan autoritarian.
Keganasan terburuk berlaku di bandar Port Said, lokasi yang  menyebabkan tujuh orang maut, semalam, sekali gus meningkatkan angka  korban kepada sekurang-kurangnya 44 orang.
Ketegangan yang bermula sejak Sabtu lalu itu memuncak selepas  mahkamah Mesir menjatuhi hukuman mati ke atas 21 defendan yang terlibat  dalam rusuhan bola sepak di Port Said pada Februari lalu yang  menyebabkan 74 orang maut. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan