Selasa, 14 Mei 2013

Fesyen rambut wanita Rom

INILAH gambaran salah satu fesyen rambut wanita zaman Rom yang digayakan oleh Janet ke atas seorang modelnya.

PADA siang hari, Janet Stephens mempunyai kerjaya sebagai pendandan dan penggunting rambut di salun. Pada sebelah malamnya pula, dia merupakan seorang ahli arkeologi amatur yang teliti dalam penciptaan dandanan rambut dari zaman pemerintahan Empayar Rom kuno.

Janet, 54, telah menceburi bidang dandanan rambut sejak dua dekad lalu. Selain itu, dia juga mencipta dandanan rambut dari era Rom di rumahnya yang terletak di Baltimore, 65 kilometer dari Washington DC, Amerika Syarikat (AS).

Dalam proses untuk mendedahkan rahsia rambut wanita pada zaman itu, dia menggabungkan bidang kerjayanya sebagai pendandan rambut dengan minatnya yang mendalam terhadap bidang arkeologi.

Janet mendandan rambut model mengikut gaya wanita-wanita Rom seperti isteri Maharaja Rom iaitu Empress Plotina. Gaya rambut itu mempunyai gaya gelung unik dan gegelung jalinan yang menunjukkan status mulianya sekitar tahun 110.

Pakar sejarah dan ahli arkeologi percaya bahawa huraian rambut wanita zaman itu seperti gambaran ukiran arca seni marmar dalam imaginasi artistik. Selain itu, dandanan rambut tersebut juga mewujudkan perhubungan dalam kehidupan sebenar wanita dalam era berkenaan.

"Apabila anda tahu bagaimana untuk melihat mereka, pasti anda akan melihat logik apa yang mereka cuba tonjolkan. Rambut merupakan salah satu gaya fesyen mereka. Anda dapat melihat tocang rambut mereka bermula di satu tempat dan menjalar ke tempat lain. Kemudian, tocang itu akan bertukar menjadi sesuatu yang berbeza," jelasnya.

Kajian Janet itu juga membantunya dalam membina teori mengenai beberapa penggayaan rambut yang rumit.

Dia mengandaikan bahawa beberapa huraian rambut dibuat menggunakan jarum dan benang bagi memastikan ia terus berada di tempatnya.

"Sebelum teori saya diperkenalkan, ia merupakan gaya rambut yang diperbuat daripada rambut palsu atau ciptaan lengkap daripada pengukir yang menggambarkan wanita itu. Saya sering berpeluh untuk menggayakan rambut itu. Namun, saya sedar sekiranya menjahit rambut itu dengan jarum dan benang, ia pasti berhasil," jelasnya.

Dia mengagak bahawa golongan hamba berkemungkinan menggunakan jarum dan benang untuk menjahit semula rambut yang menghurai dan ia mampu bertahan selama beberapa hari.

Janet juga banyak menghabiskan masa di muzium dan perpustakaan untuk mencari bukti teori kajiannya. Bagi memantapkan lagi kajiannya, Janet turut belajar bahasa Jerman.

BEBERAPA watak wanita zaman Rom dengan fesyen rambut tersendiri yang dipertontonkan di layar perak.

Demonstrasi di YouTube

Menerusi kajiannya yang dibantu oleh ensiklopedia tatabahasa Pompeius Festus, Janet menemui perkataan acus daripada bahasa latin diterjemahkan sebagai pin atau boleh juga dirujuk sebagai jarum.

Perkataan acus banyak ditemui Janet dalam pembacaan mengenai wanita pada Empayar Rom sekali gus menguatkan kepercayaannya tentang penggunaan jarum dalam fesyen rambut zaman itu.

Janet telah menerbitkan penemuannya dalam Journal of Roman Archaeology sekali gus menjadikannya salah seorang ahli bukan akademik yang mampu menulis artikel ilmiah.

"Saya tidak mencari sesuatu secara melampau ke hadapan. Saya datang sebagai pendandan rambut dan saya tahu banyak perkara buruk mengenai rambut," jelasnya.

Janet turut memuat naik demonstrasi yang teliti mengenai cara penjagaan rambut, anyaman dan menggulung rambut di laman YouTube. Cara itu juga merangkumi sebahagian atau keseluruhan rambut dengan pembalut kepala.

Dia juga menggunakan alatan sejarah yang betul untuk mencipta reka bentuk rambut yang rumit termasuk jarum tulang, gum acacia dan alatan asas pengeriting rambut.

Janet memberitahu, dia tidak meneruskan hobinya itu untuk keuntungan, tetapi menggalakkan penerbit filem Hollywood untuk melihat bagaimana dia menggayakan rambut seperti zaman purba Rom di laman YouTube miliknya.

Sepanjang tahun, dia terhibur melihat gambaran khayalan penerbit dalam filem yang kebanyakannya tidak tepat.

"Ada yang kelihatan pelik dan jauh daripada fesyen sebenar rambut wanita pada zaman itu," ungkapnya.

Wanita itu terkedu apabila memikirkan kembali siri televisyen di British pada tahun 1970-an, I, Claudius. Siri tersebut menggambarkan wanita semasa Empayar Rom mempunyai rambut yang bergulung sahaja.

"Pada masa yang singkat dalam sejarah fesyen Rom, wanita pada zaman itu mempunyai potongan rambut belah tepi. Ia bermula daripada tengah dan bersimetri. Saya pasti Hollywood akan menonton laman YouTube saya dan mendapat semua keperluan untuk membikin filem yang menggambarkan wanita zaman Rom," ujarnya.

Tiada ulasan: