Selasa, 14 Mei 2013

Demensia bukan alzheimer

WARGA emas memerlukan belaian dan perhatian daripada keluarga terutamanya apabila mereka dilanda simptom demensia.

RAJU dibawa oleh anaknya ke klinik gara-gara bersikap agresif terhadap ahli keluarganya. Walaupun disahkan menghidap demensia, anak-anaknya tetap membawa Raju ke hospital kerana dia semakin sukar dikawal.

Lelaki berumur 71 tahun itu menjadi semakin sukar dikawal sejak mengalami gangguan tidur malah dia secara tiba-tiba merayau-rayau sehingga sesat serta tidak kembali ke rumah.

Raju juga sudah tidak mengenali ahli keluarganya, mengalami masalah pertuturan malah semua keperluan asasnya dijaga sepenuhnya oleh orang lain.

Di hospital, doktor mengesahkan Raju menghidap demensia.

Mengulas gejala demensia, Perunding Geriatrik Hospital Pantai, Dr. Rajbans Singh berkata, demensia merupakan gejala kemerosotan fungsi kognitif berkaitan daya ingatan.

Kata Rajbans, gangguan itu berpunca daripada kematian sel-sel saraf otak secara perlahan-lahan yang akhirnya menyebabkan pengidapnya dihinggapi penyakit alzheimer atau nyanyuk.

“Sebanyak 60 peratus daripada gejala demensia berpunca daripada penyakit alzheimer. Demensia dan alzheimer adalah hampir sama tetapi tidak serupa. Demensia merupakan simptom atau gejala manakala alzheimer merupakan sejenis penyakit. Kedua-duanya berkaitan dengan masalah lupa atau hilang ingatan,” jelas Rajbans.

Menambah penjelasan Rajbans, Pakar Psikiatri Geriatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Zanariah Mat Saher berkata, individu yang memasuki usia 20 tahun sebenarnya mula mengalami proses kematian sel-sel dalam otak dan menyebabkan otak mula mengecut.

“Lebih cepat sel-sel otak mati, maka lebih tinggi risiko seseorang terdedah kepada demensia,” kata Zanariah.

Tambahnya, gejala ini akan menyebabkan penurunan daya ingatan serta keupayaan seseorang untuk menyelesaikan masalah harian.

“Penghidap demensia juga akan mengalami masalah pertuturan dan penguasaan emosi juga menjadi kurang. Keadaan ini selalunya berlaku secara progresif dan berkemungkinan berkekalan,” jelasnya.

Tambah Zanariah, walaupun kes demensia adalah tinggi tetapi gejala ini masih tidak dapat dikesan pada peringkat awal.

Tambahnya, kaum wanita lebih terdedah untuk mendapat penyakit ini.

KEMEROSOTAN daya ingatan menyebabkan warga emas sering hilang upaya belajar dan perlahan dalam pergerakan motor. - Gambar hiasan

“Seseorang yang mengalami obesiti, diabetes, hipertensi dan mempunyai kandungan kolesterol lebih terdedah kepada demensia,” kata Zanariah.

Jelasnya, pada peringkat awal, pesakit mengalami masalah lupa walaupun terhadap perkara-perkara biasa.

“Sebagai contoh, individu tersebut boleh lupa akan namanya sendiri malah lupa tentang peristiwa yang baru sahaja berlaku dalam kehidupannya serta suka menanyakan soalan yang sama berulang-ulang kali. Pada peringkat akhir pula, mereka berkemungkinan mengalami perubahan kognitif seperti agresif dan psikosis. Pada peringkat ini kegiatan harian mereka akan terjejas dan memerlukan bantuan sepenuhnya daripada ahli keluarga atau penjaga,” ujar Zanariah.

Penjaga

Katanya lagi, penjaga yang mengawal penghidap demensia ini memainkan peranan besar.

“Ada sesetengah ahli keluarga yang terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana mahu menjaga ibu atau bapa. Mereka memerlukan jagaan rapi. Penjaga mungkin mengalami tekanan emosi, kekurangan tidur, malah ada segelintir penjaga yang terpaksa dirawat oleh doktor serta mengambil ubat psikoterapik seperti antikemurungan dan ubat tidur,” jelasnya.

Ceritanya lagi, selain menghadapi kerenah orang yang dijaga dan mengharungi kepenatan, mereka juga menghadapi masalah kewangan.

“Disebabkan penghidap simptom ini sering terlupa melakukan perkara yang biasa, mereka perlu mendapat bantuan dan perhatian yang rapi daripada ahli keluarga atau penjaga. Apa yang penting, mereka dilarang daripada melakukan beberapa aktiviti seperti memandu kenderaan, berjalan sendirian dan memasak di dapur secara sendirian tanpa pengawasan,” ujar Zanariah.

Tegasnya, sekiranya mereka memandu, kemungkinan untuk mendapat kemalangan adalah tinggi terutamanya apabila penyakit mereka bertambah teruk.

Tiada ulasan: