Putrajaya: Malaysia berusaha keras menerusi penggubalan pelbagai dasar bagi menangani gejala kehamilan gadis remaja kerana ia adalah bentuk diskriminasi terhadap golongan itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Karim, berkata antara yang dilaksanakan kementerian, termasuk menggubal Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI), bertujuan menghasilkan individu yang berpengetahuan dan mempunyai sikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif dan sosial.
Katanya, menerusi pelan tindakan dasar itu, kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN) membangunkan pelbagai program untuk setiap lapisan masyarakat bermula daripada sekolah rendah hingga menengah dan dilaksanakan sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan.
Respek Wanita
Selain itu, kementerian juga melancarkan Kempen Respek Wanita bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat di Malaysia khususnya wanita mengenai isu keganasan terhadap wanita.
Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya kaum lelaki agar sentiasa menghormati, menghargai dan menyayangi wanita, katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia, semalam.
Sambutan Hari Penduduk Sedunia dengan tema tahun ini Kehamilan Gadis Remaja dianjur Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak 1989, bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai isu kependudukan dunia.
Beliau berkata, remaja hamil bukan saja tidak dapat menikmati zaman remaja mereka tetapi juga menutup peluang untuk mendapat pendidikan lebih tinggi selain berisiko terhadap penderaan. Mereka juga akan berhadapan dengan isu kehamilan dan penjagaan anak dalam keadaan mereka masih belum bersedia untuk menjadi seorang ibu dari segi mental dan fizikal, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan