Khamis, 25 Julai 2013

Peperangan Badar

Alhamdulillah. Sedar tak sedar, dah 16 hari kita berpuasa. Lagi 14 hari kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Hari kemenangan setelah sebulan kita berpuasa. Besok, 17 Ramadhan adalah satu hari yang bersejarah bagi umat Islam. Apa yang menarik mengenai 17 Ramadhan ni??

17 Ramadhan adalah tarikh keramat perjuangan umat Islam mempertahankan agama Islam yang suci. Pada tarikh ini lah berlakunya Peperangan Badar. Bayangkan bagaimana keadaan tentera Islam pada ketika itu yang berjumlah 313 orang, berperang menentang tentera kafir Quraisy yang berjumlah 1000 orang dalam keadaan berpuasa. Rasanya semua dah tahu apa keputusan dalam peperangan tersebut tapi mungkin ramai yang tak tahu bagaimana Perang Badar bermula.

Kisahnya bermula apabila Rasulullah SAW membawa tenteranya seramai 313 orang untuk menghalang perjalanan kafilah Quraisy yang berjumlah 1000 orang termasuk tentera upahan. Pada masa itu, rombongan kafir Quraisy dipimpin oleh Abu Sufyan. Khafilah Abu Sufyan dilengkapi dengan 100 ekor unta, tenteranya lengkap berbaju besi dan bilangan unta yang sangat banyak. Sementara tentera Islam pula mempunyai 2 ekor kuda, 70 ekor unta dan hanya bersenjatakan pelepah tamar, cangkul, batang kayu dan batu.

Walaupun serba kekurangan, tentera Islam tetap berpegang teguh kepada ajaran Islam dan yakin dengan perancangan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW telah menghantar 2 orang dengan kuda sebagai pasukan meninjau bagi mengetahui di mana kedudukan tentera kafir Quraisy. Maklumat yang diperolehi membolehkan Rasulullah SAW dan para sahabat membuat perancangan. Perancangan awalnya ialah untuk menduduki Bukit Badar sebagai medan pertempuran. Namun, seorang sahabat telah mencadangkan agar dipindahkan kearah selatan yang mempunyai sumber air. Di sinilah kunci kemenangan Rasulullah SAW apabila tentera Islam menguasai punca air dan memutuskan punca air yang lain. Dengan ini tentera kafir Quraisy akan menjadi lemah kerana ketiadaan air.

Oleh kerana jumlah tentera kafir Quraisy jauh lebih besar berbanding tentera Islam, Rasulullah SAW telah berdoa kepada Allah SWT. Dalam doanya baginda berkata: “Ya Allah, jika Engkau binasakan pasukan ini (Islam) Engkau tak akan disembah lagi  dimuka bumi ini. Ya Allah penuhilah janjimu kepadaku. Ya Allah, berikanlah pertolonganmu”.

Kesudahannya cerita rasanya semua orang dah tahu. Tentera Islam mendapat kemenangan pertama di dalam pertempuran pertama mereka. Selain daripada kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam taktik peperangan, keimanan dan ketakwaan tentera Islam yang tidak gentar dengan jumlah tentera kafir yang ramai telah membantu dalam kemenangan ini. Disebabakn keimanan mereka kepada Allah SWT, maka Allah SWT telah member bantuan kepada tentera Islam. Wahyu diturunkan ketika peperangan hendak bermula: ”Hai, Nabi! Kerahkanlah orang-orang Mu’min itu bertempur! Dua puluh orang Mu’min yang sabar, akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh dan seratus orang (Mu’min yang sabar) akan dapat mengalahkan seribu orang-orang kafir, kerana orang-orang kafir itu tidak mempunyai dasar yang teguh.”

Semoga kita mendapat pengajaran dan iktibar di bulan Ramadhan ini.

1 ulasan:

UX Designers Delhi berkata...

Very informative, keep posting such good articles, it really helps to know about things.