KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen mencadangkan penubuhan satu unit baru dalam jabatan itu, yang dikenali sebagai Bahagian Anti Pemerdagangan Orang untuk memperkasakan lagi usaha Malaysia dalam memerangi pemerdagangan orang - salah satu jenayah rentas sempadan.
Tahun ini, Malaysia sekali lagi bagi tahun keempat berturut-turut diletakkan di Tahap Dua Senarai Pemerhatian (Tier 2, Watch List) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dalam laporan Pemerdagangan Orang (TIP) 2013.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, isu pemerdagangan orang yang semakin berleluasa berlaku di seluruh dunia dilihat sebagai cabaran global hari ini, selain jenayah-jenayah lain seperti penyeludupan senjata, penyeludupan migran, rangkaian keganasan dan penyeludupan dadah.
Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila Malaysia bukan sekadar dijadikan sebagai negara destinasi tetapi juga negara transit bagi aktiviti pemerdagangan orang.
"Oleh itu, landskap dunia baru ini menyebabkan Jabatan Imigresen perlu melakukan transformasi supaya keupayaannya seiring dengan cabaran global. Ia meliputi aspek struktur, kelengkapan, pelaksanaan sistem dan tenaga manusia. Jabatan Imigresen sedang menjalani penyusunan semula organisasi dan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang adalah sebahagian daripada cadangan transformasi itu. Kita mahu menubuhkan bahagian ini secara khusus supaya tugas dan operasi berkaitan dengan jenayah rentas sempadan ini lebih fokus," katanya dalam satu temu ramah eksklusif bersama mStar Online di sini, baru-baru ini.
Kedudukan Malaysia dalam menangani jenayah pemerdagangan orang sebelum ini pernah merosot kepada Tahap Tiga (Tier 3) pada 2009 berbanding Tahap Dua (Tier 2) pada 2008.
Tahap Dua (Tier 2) bermakna negara berusaha memenuhi syarat Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan - Trafficking Victims Protection Act (TVPA) Amerika Syarikat, Tahap Tiga (Tier 3) bermaksud langsung tidak melakukan apa-apa usaha dan mengaplikasikan sepenuhnya TVPA.
Dan Malaysia yang ketika ini pada Tahap Dua Senarai Pemerhatian (Tier 2 Watch List) sedang berusaha untuk mencapai Tahap Satu (Tier 1) - negara yang melakukan pematuhan TVPA sepenuhnya.
Alias berkata, cadangan penubuhan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang merupakan antara inisiatif utama Jabatan Imigresen yang diiktiraf sebagai Agensi Sektor Awam Terbaik pada majlis Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Global anjuran Institut Pengurusan Malaysia (MIM), baru-baru ini.
Pada masa ini, beliau berkata, sebarang operasi yang melibatkan usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang diletakkan di bawah Bahagian Penguatkuasaan.
"Jika Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dilaksanakan, ia akan melengkapi proses dengan lebih cekap dari peringkat risikan, pemantauan, penguatkuasaan, penangkapan, penyiasatan sehingga ke pendakwaan dan seterusnya mensabitkan kesalahan dan melindungi mangsa," katanya.
Menurut statistik Jabatan Imigresen, sebanyak 213 kes melibatkan 975 mangsa pemerdagangan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (ATIP) sejak 2008.
Tahun ini sahaja setakat Jun, sebanyak 14 kes dengan 49 mangsa di bawah ATIP.
Menurut Alias, cadangan penubuhan bahagian baru itu sudah pun diusulkan kepada Kerajaan pada November tahun lepas bagi mendapatkan kelulusan.
"Cadangan ini memerlukan penelitian dan ia kini dalam fasa kedua untuk rundingan dan perbincangan di pihak kerajaan. Kita berharap ia dipertimbangkan dan mendapatkan kelulusan secepat mungkin," katanya.
Beliau menambah, sebagai persediaan sementara menubuhkan bahagian baru, Jabatan Imigresen kini memperkukuhkan bahagian risikan dan penguatkuasaan di samping mewujudkan pusat data bagi perkongsian maklumat risikan dengan negara-negara lain, seperti Australia, United Kingdom, Kanada dan Singapura, dengan menumpukan hal-hal berkaitan jenayah rentas sempadan.
"Pada masa yang sama, Jabatan Imigresen mempelajari pengetahuan dan pengalaman daripada pihak berkuasa Taiwan dan Korea dalam memerangi pemerdagangan orang berikutan kedua-dua negara itu berada di kedudukan Tahap Satu (Tier-1). Kita percaya dengan penubuhan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang, ia membantu usaha Malaysia dalam membanteras jenayah rentas sempadan sekali gus memperbaiki kedudukan Malaysia dengan pencapaian TIP yang lebih baik setanding dengan kebanyakan negara dunia," kata Alias.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan