Jumaat, 1 Mac 2013

Ikatan janji

pix_gal0
Bertunang adalah mukadimah atau permulaan kepada pernikahan atau kahwin. Ikatan ini adalah suatu janji setia yang dibuat oleh kedua belah pihak lelaki dan perempuan sebagai penerimaan terhadap diri pasangan mereka.
Amalan pertunangan digalakkan di dalam Islam demi mencapai Maqasid iaitu tujuan ingin dicapai dalam melakukan sesuatu.
Bertunang ada tujuan dan hikmahnya tersendiri. Antaranya, sebagai pengisytiharan, gadis dipinang itu sudah ada yang punya.
Dalam tempoh ikatan ini, pasangan akan melalui proses "taaruf", bertujuan mengenali lebih dekat mengenai bakal teman hidup mereka dan juga keluarga kedua-dua pihak sebelum melangkah ke alam pernikahan.
Pendakwah dan penceramah bebas, Wan Akashah Wan Abdul Hamid, berkata bukan saja dalam perkahwinan perlu dihebahkan tetapi juga majlis pertunangan. Ini kerana apabila seseorang itu sudah bertunang, haram orang lain meminang wanita itu.
Tempoh pertunangan tidak terhad atau terbatas, kerana masing-masing punya sebab serta alasan tersendiri.
Bagaimanapun, kata Wan Akashah, sebaik-baiknya tempoh pertunangan itu tidak terlalu lama. Contohnya, meletakkan tempoh antara tiga hingga enam bulan kerana dalam tempoh itu, dapatlah kedua-dua pihak membuat persediaan sebelum melangsungkan majlis perkahwinan.
Katanya, tujuan bertunang juga supaya kedua-dua keluarga dapat membina hubungan kekeluargaan sebelum bergelar besan.
“Seperti kata orang tua-tua apabila berkahwin, kita bukan berkahwin dengan
lelaki dan wanita itu saja tetapi juga dengan seluruh keluarganya. Justeru, dalam tempoh pertunangan, ia dikatakan sebagai proses berkenal-kenalan,” katanya.
Dalam adat Melayu, ketika mengadakan majlis pertunangan, adanya tepak sirih, sirih junjung dan cincin sebagai simbolik serta lambang pertunangan. Selain dua benda yang dikatakan penting mengikut adat itu, ada yang suka menambah barangan lain seperti manisan dan makanan.
Wan Akashah menegaskan, amalan memberi peralatan atau kelengkapan dalam majlis pertunangan itu tidak seiring dengan ajaran Islam tetapi ia masih lagi amalan yang baik, dengan syarat tidak berlakunya pembaziran atau berunsur maksiat.
“Dalam majlis pertunangan seelok-eloknya hanya dihadiri oleh waris terdekat kedua-dua belah pihak seperti ibu bapa dan adik beradik serta dihadiri ketua kampung serta ahli jawatankuasa kampung. Ketika itu, acara seakan mesyuarat itu akan membincangkan mengenai tarikh berlangsungnya perkahwinan dan juga jumlah hantaran selain perkara yang berkaitan hal ehwal majlis perkahwinan,” katanya.
Selalunya, dalam budaya Melayu, selepas majlis perbincangan berlangsung, si ibu atau saudara perempuan terdekat dengan bakal pengantin lelaki akan menyarungkan cincin pertunangan pada jari si gadis dengan disaksikan keluarga terdekat.
“Mengikut hukum Islam, lelaki dan perempuan tidak dibenarkan bersentuhan selagi belum melaksanakan akad nikah walaupun sudah bertunang. Perlu faham, tunang masih lagi bukan mahram, maknanya si gadis itu tidak boleh disentuh,” katanya.
Wan Akashah berkata, sekiranya mahu memutuskan pertunangan hendaklah lakukan cara baik dan berlandaskan Islam iaitu menghantar wakil keluarga ke rumah pasangan, seperti mana ketika datang merisik dan mengisytiharkan pertunangan sebelum ini.
“Ia sangat penting dan cara memutuskan itu pula tidak sukar. Tindakan ini supaya masing-masing tidak akan menyimpan perasaan dendam atau bermusuhan. Kita hanya merancang tetapi Allah menentukan sama ada mereka akan berkahwin ataupun tidak,” katanya sambil menasihati mereka yang mengalaminya perlu reda dan pasrah sekiranya pertunangan itu diputuskan.
Katanya, walaupun hati tidak suka tetapi ia adalah ketentuan Allah dan mempunyai hikmah yang kita tidak tahu.
Tegasnya, dalam apa juga keadaan kita perlu berbalik kepada keluarga dan berbincang dengan cara baik serta menghantar wakil sebelum mula menghebahkannya kepada umum. Jangan sesekali membuat tindakan drastik seorang diri kerana secara tidak langsung, boleh menyakiti hati keluarga terutama, ibu dan bapa.
“Allah menyebut, - “Berbincanglah dalam urusan lebih penting, lebih-lebih lagi dalam urusan yang besar.” Apabila tiada perbincangan, ia tindakan yang tidak betul dan boleh menimbulkan suasana tidak harmoni antara keluarga, sekali gus memberi kesan dalam masyarakat,” katanya.
Apabila ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak yang dikatakan terkena buatan sihir orang selepas bertunang atau berkahwin dan tidak mengerti akan majlis diadakan itu, Wan Akashah, berkata ia amat sensitif.
“Kita tidak boleh membuat kenyataan sedemikian melainkan terdapat bukti jelas supaya dapat menjaga maruah diri sendiri dan orang lain. Apa saja yang keluar dari mulut, mestilah berlandaskan fakta. Oleh itu lebih baik, setiap perkara disebut perlu lebih berhati-hati,” katanya.

Tiada ulasan: