Seorang lelaki yang sudah kematian isteri, bukan saja tergamak merogol anak tunggalnya berusia lapan tahun malah lelaki durjana itu juga sanggup bergaduh besar dengan ibu dan adik perempuannya selepas keluarganya tampil membuat laporan polis berhubung tindakan kejamnya itu.
Mangsa, seorang murid tahun dua sebuah sekolah rendah di bandar ini dikatakan dirogol bapanya sendiri yang berusia 32 tahun ketika sedang mandi di bilik air rumah mereka di Kampung Jalan Batu Satu, dekat sini, kira-kira jam 2 petang, 14 Oktober lalu.
Sebelum kejadian, kanak-kanak malang itu baru pulang dari sekolah, masuk ke bilik air untuk mandi tanpa mengetahui gerak-gerinya diperhatikan oleh bapanya dan mangsa yang murung menceritakan perbuatan jijik itu kepada ibu saudaranya selepas didesak berbuat demikian.
Ibu saudara mangsa yang terkejut mendengar pengakuan mangsa kemudian menceritakan insiden itu kepada ibunya dan kedua-dua mereka memanggil suspek untuk mendapatkan cerita sebenar daripadanya.
Ketika ditanya, suspek mula berang dan bergaduh besar dengan ibu serta adik perempuannya itu dan dia turut dikatakan cuba bertindak agresif terhadap mereka.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zakaria Kassim, berkata nenek serta ibu saudara mangsa membawa kanak-kanak malang itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut kira-kira jam 2 petang, sehari selepas kejadian.
“Lelaki itu turut membuat laporan polis, dua jam selepas itu dengan tujuan mahu mengelak daripada dikenakan sebarang tindakan selain mengadu dirinya dikasari oleh adik perempuannya. Dia ditahan sejurus selepas membuat laporan berkenaan,” kata Zakaria.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan