
SAINTIS barat, William Harvey sering diberi pengiktirafan rentetan  penerangan yang diberikan tentang pulmonari iaitu bagaimana darah  mengalir antara jantung dan paru-paru pada kurun ke-16.
Namun, tahukah kita bahawa apa yang diperkatakan Harvey telah pun digambarkan dengan tepat oleh Ibn Nafis 300 tahun lebih awal.
Merupakan seorang doktor terulung Islam pada zamannya, Ibn Nafis   banyak menulis buku mengenai ilmu perubatan dan karyanya yang paling  terkenal ialah buku tentang fungsi jantung dan paru-paru.
Dilahirkan pada tahun 1210 Masihi dan meninggal dunia pada 1288  Masihi, beliau merupakan individu pertama yang menerangkan struktur dan  fungsi paru-paru serta peredaran darah dengan tepat.
Malah, beliau juga memberitahu tentang fungsi injap jantung dan  kapilari iaitu pembuluh kecil yang menghubungkan arteri dan salur darah.
Keagungan saintis Islam
Pencapaian dan kehebatan Ibn Nafis itu merupakan sebahagian daripada  input yang boleh diterokai pada Pameran Sultans Of Science (SOS) yang  sedang berlangsung di Petrosains, Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed  Ibrahim berkata, SOS ialah satu pameran bergerak terbaharu yang  bertemakan Penerokaan Semula Sains Islam bertarikh 700 hingga 1700  Masihi.
“Ia bertujuan untuk meraikan sumbangan cendekiawan Muslim dalam  bidang sains dan teknologi terhadap kehidupan masyarakat moden hari ini.
“Pameran ini menampilkan tokoh-tokoh ilmuan Islam seperti Ibnu Sina,  Al-Jazari, Ibnu Haytham, Ibnu Firnas, Al-Kindi, Banu Musa, Ibnu Khaldun,  Al-Zahrawi, Al-Razi, Al-Kindi dan ramai lagi. Ia merangkumi sembilan  bidang utama saintifik Islam iaitu matematik dan navigasi, astronomi,  perubatan, pembuatan peralatan, ciptaan dan teknologi halus, optik,  kejuruteraan, seni bina serta penerbangan,” ujar Tengku Nasariah kepada  Kosmo!.
Berlangsung selama enam bulan bermula 15 Disember 2012 hingga 15 Jun  2013, pameran itu sesuai dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat  terutama para pengunjung yang berkeluarga.
Sempena pameran itu juga, Petrosains turut mengadakan  aktiviti-aktiviti menarik seperti pertunjukan sains Stand Up iaitu  fasilitator membuat persembahan dengan menggunakan anggota badan tanpa  perlu sebarang alatan tambahan.
|  | 
| SALAH satu sudut yang memaparkan tentang peralatan astronomi zaman dahulu.  | 
Selain itu, terdapat pertunjukan sains mini seperti Sun Dial untuk  belajar mengenai jam berdasarkan cahaya matahari, Defying Gravity yang  membolehkan pengunjung mengetahui tentang sifon atau hos, manakala Spicy  Perfume pula memberi maklumat tentang haruman yang diperbuat daripada  rempah-ratus.
Tidak ketinggalan, turut diadakan bengkel Automata Cardboard dan The  Tales of Tangram & Tesselation yang menerangkan tentang kejuruteraan  dan matematik. Pada setiap hujung minggu pula, Petrosains akan  menganjurkan aktiviti istimewa iaitu seni tulisan kaligrafi dan lukisan  henna.
Apa yang pasti, semua peralatan yang dipamerkan pada pameran itu  bersifat interaktif dan boleh dicuba oleh pengunjung sekali gus merasai  keseronokan terhadap ciptaan hebat cendekiawan Islam.
Menurut Tengku Nasariah, pameran bertaraf antarabangsa itu direka  serta dihasilkan oleh MTE Studios, satu syarikat konsultasi yang  memfokus kepada rekaan dan hiburan.
“Pameran ini berasal dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan ia  telah dipamerkan di beberapa negara lain seperti Afrika Selatan, Kanada,  Amerika Syarikat, Singapura dan Thailand sebelum diadakan di  Petrosains, Suria KLCC, Kuala Lumpur,” tambah beliau.
Apabila menerokai keseluruhan pameran itu, pengunjung akan dapati  banyak penemuan, pencapaian dan penciptaan tokoh-tokoh ilmuan Islam yang  mengagumkan.
Boleh dikatakan usaha mereka itu membuka dan merintis laluan buat  pengkaji dan saintis Barat yang secara tidak langsung memberi inspirasi  kepada tercetusnya penghasilan produk  berteknologi tinggi.
Ia sekali gus mengangkat dan membina ketamadunan manusia yang lebih sempurna seperti yang telah kita kecapi pada zaman ini.
Tambah ilmu
 Profesor Madya Faridah Adnan mengakui, teruja apabila berpeluang mengunjungi pameran tersebut bersama anaknya baru-baru ini.
“Segala maklumat dan contoh-contoh peralatan yang dipamerkan sangat  menakjubkan. Ia mampu membuka mata dan minda kita tentang kehebatan para  saintis dan cendekiawan Islam dahulu kala sekali gus boleh dicontohi  generasi muda masa kini.
“Kita perlu membuat perubahan dan menjalankan lebih banyak  penyelidikan terutama dalam bidang sains kerana ilmu Allah ini terlalu  luas untuk diterokai.
“Hakikatnya, lebih banyak kita kaji, lebih banyak yang kita tidak  ketahui kerana apa yang ada di bumi dan alam cakerawala  diibaratkan  hanyalah setitis daripada lautan ilmu Allah,” terang Faridah yang  merupakan pensyarah di Fakulti Senibina dan Perancangan Ukur, Universiti  Teknologi Mara,  Shah Alam, Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan