Rabu, 21 September 2011

Perhubungan

Hidup ini ibarat roda, berputar dan terus berputar tanpa hentinya sehingga sampai ke destinasi yang dituju. Destinasi yang telah ditetapkan. Destinasi yang telah diketahui. Destinasi yang tidak pasti bilakah penghujungnya akan tiba tapi memang itulah penghujungnya dalam kehidupan ini iaitu kematian yang pasti akan menemui kita.

Apa yang ingin aku coretkan disini bukannya tentang kehidupan namun berkaitan dengan kehidupan iaitu perhubungan. Setiap yang hidup pasti akan menemui mati dan setiap individu bukannya hidup sendirian. Mereka memerlukan kawan dan teman. Ini sudah semestinya melibatkan perhubungan. Allah telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."
Oleh itu adalah mustahil bagi individu yang normal untuk menjalani kehidupan ini secara bersendirian kecuali mereka itu adalah golongan yang menjalani hukuman dan disisihkan kerana sesuatu yang telah mereka lakukan.
Jelas dinyatakan disini bahawa Allah menjadikan manusia ini untuk saling lengkap-melengkapi, cukup-mencukupi antara satu sama lain kerana semulia-mulia ciptaan adalah Manusia yang dikurniakan akal untuk membuat keputusan.
Dalam kehidupan ini, terdapat beberapa jenis perhubungan antaranya Perhubungan Dengan Allah, Perhubungan Sesama Manusia, Perhubungan dengan makhluk lain dan sebagainya lagi. Sama seperti pokok dan tumbuh-tumbuhan, adakalanya hidup subur dan adakalanya suram, Perlu dibajai sentiasa agar senantiasa segar dan subur. Begitu jugalah dengan perhubungan ini perlu dibajai dan disirami agar senantiasa erat dan mesra serta harmoni.
Perhubungan ini perlu dibajai dan disirami dengan perasaan kasih dan sayang agar senantiasa teguh, bahagia dan harmoni. Pendekatan diplomatik (tolak ansur) kadangkala boleh digunakan dan kadangkala pendekatan berbentuk autokratik(ikut perintah) perlu dalam sesetengah perkara. Dalam sesetengah perkara pula pendekatan demokrasi(majoriti) perlu. Bab kata semua pendekatan boleh digunakan dalam sesuatu perkara yang perlu. Jika perkara yang berkaitan dengan keagamaan perlulah pendekatan diplomatik dan autokratik dan bagi perkara selain itu bolehlah menggunakan pendekatan demokrasi bagi mengelakkan pendekatan kuku besi menjadi budaya perhubungan.
Saya pernah mendengar pakar motivasi berkata;
“Dalam perhubungan ini sekiranya kita melayan Isteri kita seperti kita melayan rakan-rakan dan teman-teman ditempat kerja, aman bahagialah rumahtangga. Sekiranya kita melayan rakan-rakan dan teman-teman ditempat kerja seperti melayan isteri dirumah, maka rakan-rakan dan teman-teman ditempat kerja akan menjauhi kita.”
sekiranya tidak percaya boleh lah mencubanya.
Semoga coretan dan catatan yang tidak tersusun bahasa dan gaya penulisan ini boleh membimbing dan membantu mengukuhkan perhubungan yang telah terjalin, membina jalinan perhubungan yang baru. Dan sekiranya ingin memutuskan perhubungan sekalipun boleh juga digunakan.

Tiada ulasan: