Bila sebut  sahaja menutup aurat, ramai orang lebih memfokuskan kepada pemakaian tudung  semata-mata. Jika tutup kepala dengan tudung, ia sudah dikira tutup aurat. Namun  secara hakikatnya, itu satu persepsi yang silap. Kini, wanita muslimah  terpengaruh dengan busana dan fesyen-fesyen barat dalam berpakaian. Dan ada  diantara mereka tidak menyempurnakan kewajipan mereka dalam melaksanakan hijabul  muslimah yang sebenar, mereka memakai tudung tapi tidak menutup aurat kecuali  rambut sahaja, berbaju tapi ketat, pendek dan jarang.
Islam merupakan  satu cara hidup yang lengkap, meliputi tatacara hidup dunia dan akhirat,  peribadi dan masyarakat, aqidah dan akhlak dan sebagainya.
Islam meletakkan  wanita ke satu darjat yang tinggi dalam masyarakat, di mana wanita dianggap suci  dan dipelihara serta dilindungi kesuciannya sehingga tiada yang boleh melihat  auratnya kecuali keluarga yang rapat sahaja. Tujuan pemeliharaan ini adalah  untuk menjaga kemuliaan masyarakat agar lahir di sana sebuah masyarakat yang  terpelihara maruahnya.
Kewajiban  menutup aurat ke atas wanita tidak boleh diperbahaskan menurut lojik akal semata  bahkan perlu dilihat sebagai hak wewenangan Allah SWT dalam menentukan hukum  demi memelihara kesejahteraan makhlukNya.
Islam menjadikan  wanita itu indah pada pandangan lelaki, perhiasan dunia dan penyejuk mata. Ini  berdasarkan beberapa ayat dan Hadis Rasulullah SAW. Lelaki pula dicampakkan rasa  cenderung kepada wanita, dalam sesetengah keadaan menempati tempat pertama di  hati lelaki berbanding perhiasan dunia yang lain seperti harta, pangkat dan  lain-lain. Ini terbukti jika diperhatikan, anak remaja lelaki, dalam usia awal  belasan tahun sudah pandai memuja wanita dan menyintai wanita sedang mereka  belum merasai kehendak mengumpulkan harta dan merebut pangkat.
Allah SWT,  Pencipta, Pemelihara dan Pengurus diri kita dan seluruh alam ini, Dia Maha  Bijaksana, Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya, menetapkan hukum  menutup aurat ke atas wanita sesuai dengan fitrahnya yang halus, suci, pemalu  dan indah, di samping di sana ada segolongan hambaNya yang lelaki yang sangat  mengidamkan wanita, semua ini demi memelihara kesucian masyarakat dari  perkara-perkara yang boleh membawa kepada maksiat yang besar atau kecil seperti  pergaulan bebas dan kemuncaknya ialah zina.
Allah SWT  melalui ayat-ayat sucinya dan Hadis-hadis Rasulullah SAW telah menggariskan  beberapa asas dalam menyempurnakan kewajiban menutup aurat .
Di sini, saya  turunkan beberapa syarat asas dalam menutup aurat seperti yang dikehendaki  syara’:
1) Seluruh tubuh  adalah aurat:
Aurat wanita  adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Leher  dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun  sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut sampai hujung kaki adalah aurat yang  wajib ditutup, kecuali wajah dan dua telapak tangan (termasuk belakang  tangannya). Hal ini berlandaskan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,
“Dan janganlah  mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya.” [AQ:  An-Nur (24):31].
Yang di maksud  “wa laa yubdiina ziinatahunnaa” (janganlah mereka menampakkan perhiasannya),  adalah “wa laa yubdiina mahalla ziinatahinnaa”, maksudnya janganlah mereka  menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan.  [Lihat Abu Bakar Al-Jashshash, Ahkamul Qur`an, Juz III hal. 316].
Selanjutnya,  kalimah “illa maa zhahara minhaa” [kecuali yang (biasa) nampak darinya], ini  bermaksud, ada anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua  telapak tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas,  Ibnu Umar dan juga Aisyah [Al-Albani, 2001:66].
Ibnu Jarir  Ath-Thabari (wafat 310H) menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Jami Al-Bayan fi  Tafsir Al-Qur`an Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang di maksud “kecuali yang  (biasa) nampak darinya (illaa maa zhahara minha)”, katanya, pendapat yang paling  mendekati kebenaran adalah yang mengatakan bahawa, yang dimaksudkan (dalam ayat  di atas) adalah wajah dan dua telapak tangan.
Selain itu di  sana ada syarat bagi tudung wanita, firman Allah (bermaksud)
“Wahai Nabi!  katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang  Mukmin, ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya.” [ Al-Ahzab  (33):59].
Oleh sebab  Al-Quran adalah berbahasa Arab, dan perkataan “jilbab” itu adalah perkataan  Arab, maka kita hendaklah memahami apakah yang dimaksudkan “jilbab” di dalam  bahasa Arab. Dengan kata lain, kita hendaklah memahami dan mengikuti apakah yang  orang Arab faham bila disebut jilbab. Maka inilah pakaian yang diperintahkan  oleh Allah kepada perempuan. Di samping itu, perincian tentang pakaian ini telah  pun dijelaskan di dalam banyak hadis sahih yang wajib diikuti oleh setiap  orang.
Jadi, apakah  makna jilbab itu? Selain dari melihat sendiri kepada nas-nas hadis tentang  pakaian yang dipakai Muslimah semasa zaman Rasulullah, kita juga boleh merujuk  kepada banyak kamus Arab untuk mengetahui makna “jilbab”. Dalam kitab Al-Mu’jam  Al-Wasith karya Dr. Ibrahim Anis [Kaherah: Darul Maarif ms 128], jilbab  diertikan sebagai ats-tsaubul musytamil ala al-jasadi kullihi (pakaian yang  menutupi seluruh tubuh), atau ma fauqa ats-tsiyab kal milhafah (pakaian luar  yang dikenakan di atas pakaian rumah, seperti milhafah (seperti jubah), atau  al-mula’ah asy-tamilu biha al-mar’ah (pakaian luar yang digunakan untuk menutupi  seluruh tubuh wanita).
Berdasarkan  pengertian ini, jelaslah bahawa yang diwajibkan ke atas wanita adalah mengenakan  pakaian yang satu (sekeping) yang lurus dari atas hinggalah ke bawah, yakni  hingga ke mata kaki. Maksud milhafah/mula’ah (Arab) adalah pakaian yang  dikenakan sebagai pakaian luar [di dalamnya masih ada pakaian dalam (pakaian  rumah) atau pakaian sehari-hari tetapi bukan hanya coli dan seluar dalam] lalu  diulurkan ke bawah hingga menutupi kedua mata kakinya. Untuk pakaian atas,  wanita disyariatkan/diwajibkan memakai “khimar” iaitu tudung atau apa sahaja  bahan/kain yang serupa dengannya yang berfungsi menutupi seluruh kepala, leher,  dan lubang leher baju di dada.
Dalil mengenai  wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman  Allah,
“Hendaklah  mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” [TMQ An-Nur (24):31].
Pakaian jenis  ini (jilbab dan khimar) wajib dipakai oleh seorang Muslimah (yang telah baligh)  apabila hendak keluar menuju ke pasar-pasar atau berjalan melalui jalanan umum.  Setelah memakai kedua jenis pakaian ini (jilbab dan khimar) maka barulah  dibolehkan baginya keluar dari rumahnya tanpa sebarang dosa. Jika tidak, maka  dia tidak boleh (haram) keluar dari rumah kerana perintah yang menyangkut kedua  jenis pakaian ini datang dalam bentuk yang umum, dan tetap dalam keumumannya  dalam semua keadaan. Mana-mana wanita yang telah baligh dan melanggar ketetapan  Allah ini, maka berdosalah mereka dan layak mendapat seksa Allah di akhirat  nanti.
Berdasarkan  huraian ini,tudung pendek yang sering dipakai wanita hari ini,yg melekat pada  badan,tidak menutupi dadanya adalah tidak memenuhi syarat bertudung dalam al  Quran.
2) Bentuk dan  jenis pakaian
Berdasarkan hal  ini maka setiap bentuk dan jenis pakaian yang dapat menutupi aurat iaitu yang  tidak menampakkan aurat dianggap sebagai penutup bagi aurat secara syar’i, tanpa  melihat lagi bentuk, jenis, atau fesyennya.
i) Pakaian  hendaklah tebal
Syara’ telah  mensyaratkan dalam berpakaian agar pakaian yang dikenakan dapat menutupi kulit.  Jadi pakaian wajib dapat menutupi kulit sehingga warna kulitnya tidak diketahui.  Jika tidak, maka tidak dikatakan menutup aurat. Oleh kerana itu apabila kain  penutup itu tipis/transparent sehingga nampak warna kulitnya dan dapat diketahui  sama ada kulitnya berwarna merah atau coklat, maka kain penutup seperti ini  tidak boleh dijadikan penutup aurat dan haram hukum memakainya.
Usamah bin Zaid  pernah menceritakan bahawa rasulullah s.a.w telah menerima hadiah sejenis kain  Qibtiah yang kurang tebal daripada Dahiyah Al-Albi dan Rasulullah s.a.w pula  menghadiahkan kain tersebut kepada beliau , untuk dibuat pakaian tetapi Usamah  memberikan kepada isterinya.
Suatu hari  rasulullah s.a.w bertanyakan Usamah : “Kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah  itu?” Usamah menjawab :” Saya telah berikan kepada isteri saya”. Lalu Rasulullah  s.a.w bersabda kepada Usamah :” Suruhlah isterimu mengalaskan kain tersebut  dengan kain yang lain di bawahnya, kerana aku bimbang jika kain Qibtiah itu  tidak dialas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang-tulang badan isterimu  (bentuk tubuh badan isterimu)”.
ii) Tidak  terlalu licin dan lembut
Selain daripada  itu, pakaian wanita hendaklah dibuat dari kain yang tidak terlalu licin dan  lembut hingga melekat di tubuh dan membayangkan kulit pemakainya. Pakaian yang  dibuat daripada kain-kain tersebut boleh mempamerkan rupa bentuk anggota badan  wanita yang boleh mengghairahkan lelaki yang memandangnya.
iii) Tidak  berwangi-wangian pada pakaian dan badan.
Abu Hurairah r.a  telah meriwayatkan bahawa rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesiapa jua  wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan  dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina”.
iv) Pakaian itu  tidak menyerupai pakaian lelaki.
Ini bermaksud  fesyen yg tidak menyerupai lelaki, seperti wanita berkemeja dan berseluar  panjang sehingga orang menyangka itu adalah lelaki, maka hukumnya  haram.
v) Pakaian itu  tidak menyerupai pakaian orang-orang kafir atau musyrik.
Dengan memakai  pakaian yang menutup aurat, seseorang wanita telah menunjukkan harga diri  sebenar seorang wanita dan sekaligus menghindari perbuatan tidak senonoh di  kalangan para lelaki terhadap wanita.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan