Khamis, 20 Disember 2012

Anak kampung Kuala Pilah

Sebanyak 50 pokok buah naga, 700 pokok pisang, sebuah kuarters kakitangan kerajaan usang yang diisi 80,000 beg cendawan, tanaman sayur terung, kangkung, sawi, cili api dan banyak lagi mengelilingi kediaman rasmi bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Norzam Mohd. Nor.
PADA 27 Disember 2009, sayu membalut Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah, Negeri Sembilan apabila Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Norzam Mohd. Nor, 53, mengumumkan kemangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman.
Seusai majlis pemakaman Yang Dipertuan Besar ke-10 itu, dan pemasyhuran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai peneraju baru takhta Negeri Sembilan, Norzam menerima arahan untuk ditukarkan ke Kompleks Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.
Sekali gus ini bermakna beliau akan melepaskan tanggungjawab sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dan berdepan dengan persekitaran yang jauh berbeza berbanding ketika menganggotai kerajaan negeri.
"Pemerintahan kerajaan negeri berbeza berbanding kerajaan persekutuan kerana pada peringkat negeri ia lebih banyak melibatkan sumber maklumat dan kelulusan untuk banyak perkara.
"Sedangkan kerajaan persekutuan banyak mengajar tentang dasar kerajaan. Apabila dipindahkan ke kerajaan negeri, ilmu seperti itu dapat memudahkan perjalanan pentadbiran," ujarnya yang mengatakan beliau bermula dengan perkhidmatan kerajaan persekutuan sebelum menyertai kerajaan negeri.
Seperti mana-mana setiausaha syarikat, masa menjadi musuh utama kerjayanya. Perlu memberi perhatian kepada banyak jabatan dan bahagian kerajaan, kata Norzam, disiplin yang tinggi dan ilmu yang luas dapat memastikan segalanya berjalan lancar.
"Bekerja sebagai seorang setiausaha, lebih-lebih lagi untuk sebuah negeri, saya perlu menghadiri banyak mesyuarat. Lima atau enam mesyuarat dengan berbagai jabatan dalam sehari adalah senario lazim.
"Isu yang sering dibangkitkan di peringkat negeri ialah kemudahan awam, aduan penduduk, projek negeri, kekangan peruntukan dan sebagainya.
"Jadi kita perlu bijak menguruskan masa dan disiplin bagi dapat memastikan mesyuarat menepati objektif, tidak meleret, dibincangkan dengan serius, ditemukan penyelesaian dan keputusan," jelasnya yang mengakui masyarakat pada hari ini mempunyai harapan yang lebih tinggi terhadap kerajaan berbanding era sebelum ini.
MEMETIK hasil tanaman untuk dimasak adalah 'hasil tuaian' yang cukup manis bagi Norzam.


Memegang jawatan besar sejak 16 bulan yang lalu, sibuknya sehingga ke hujung minggu. Namun, dalam kesibukan itu, Norzam dalam diam sempat 'membuka' dusun di sekitar kediaman rasminya di Seremban.
"Asalnya ia tanah terbiar yang penuh bersemak. Jadi saya panggil orang untuk membersihkannya. Tetapi setelah bersih, saya dapati tanahnya elok dan subur.
"Dari situ saya mengajak kawan baik saya untuk sama-sama bercucuk tanam di sekitarnya," jelasnya.
SEBANYAK 80,000 beg cendawan diusahakan Norzam bersama teman baiknya di kuarters usang di belakang rumahnya.


Di sebalik pagar yang menyempadani, berbaris pokok jagung, lebih 700 pokok pisang, sayur-sayuran seperti terung, sawi, cili dan sebagainya. Di belakang rumahnya pula kemas berdiri 50 batang pokok buah naga.
Tidak cukup dengan itu, sebuah kuarters usang di luar kawasan rumahnya yang terbiar dijadikan tempat menyemai cendawan.
"Saya ada terbaca satu artikel tentang cendawan dan saya pula memang suka makan cendawan. Pada waktu yang sama rumah (kuarters) ini terbiar begitu saja dan menjadi sarang penagih dadah.
"Jadi saya fikir ada baiknya bangunan ini digunakan sebagai tempat menyemai cendawan. Tidaklah ia terbiar lagi atau menjadi tempat penagih.
MAJLIS pemakaman Almarhum Tuanku Ja’afar adalah antara tugas terakhir Norzam (kanan sekali) sebelum meninggalkan kerajaan Negeri Sembilan.





"Kawan saya kata dia tidak tahu menyemai cendawan, jadi saya cadangkan dia menghadiri kursus mengusahakan tanaman ini. Sekarang, dalam bangunan dua tingkat ini, sudah ada 80,000 beg cendawan yang bakal masuk musim kedua menuai.
"Dalam satu musim, cendawan dapat dituai tujuh kali," kata Norzam tersenyum lebar. Ukiran manis pada wajahnya itu rupa-rupanya untuk mengkhabarkan bahawa saiz perusahaan itu mungkin antara yang terbesar di Negeri Sembilan.
Memiliki pesona yang tenang, Norzam yang berasal dari Kuala Pilah mengaku dirinya tidak dapat lari daripada asal usulnya sebagai seorang anak kampung, menyebabkan aktiviti bercucuk tanam sesuatu yang dekat di hatinya.
Kalau sudah bergelar anak jati Negeri Sembilan, Adat Perpatih jua jadi junjungan. Mengatakan kebanyakan generasi muda pada hari ini tidak menyedari mereka sebenarnya sedang mengamalkan adat itu dalam kehidupan seharian mereka, Norzam menjelaskan kenduri-kendara yang melibatkan kerjasama merupakan salah satu kandungan utama adat yang sering dipandang serong ini.
"Sebenarnya ramai yang tidak faham sepenuhnya tentang adat ini, terutamanya apabila menyentuh tentang pewarisan harta. Anak perempuan berhak ke atas sebahagian besar harta pusaka dan bukan harta sepencarian.
"Jadi harta yang dimaksudkan itu adalah harta yang diperturunkan oleh nenek moyang atau generasi terdahulu sahaja.
"Adat ini hanya memberi perlindungan kepada kaum wanita dengan kepercayaan bahawa kaum lelaki dapat mengusahakan sendiri rezeki mereka. Kaum wanita, kalau tidak panjang jodohnya dengan suami, harta inilah yang dapat melindungi mereka," jelasnya.
Perbicaraan tentang adat melewati acara pemakaman Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman dan pemasyhuran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Katanya, momen itu merupakan pengalaman paling sukar untuk dilupakan sepanjang kerjaya beliau.
"Sewaktu Almarhum Tuanku Ja'afar mangkat, tidak ada seorang pun daripada kami yang mempunyai pengalaman dalam majlis pemakaman. Jadi apa yang kami buat adalah menubuhkan jawatankuasa khusus untuk tujuan itu.
"Kami dituntut untuk menunjukkan komitmen dan kerjasama yang tinggi sepanjang tempoh ini, daripada peringkat perbincangan sehinggalah kepada pelaksanaan.
"Sepanjang tiga hari sehingga pemakaman dilakukan, saya balik ke rumah pada pukul 3 pagi setiap hari. Pemantauan dijalankan secara berterusan.
"Saya turun ke tempat pemakanan pukul 2 pagi semata-mata untuk memastikan semuanya berjalan sebagaimana dirancang. Ia satu pengalaman yang akan saya kenang," kongsinya.
Sebagai orang kanan Almarhum, Norzam mengakui pemergian baginda adalah satu kehilangan yang besar.
"Almarhum seorang yang cukup senang. Mudah didekati dan mesra. Baginda tidak pernah marah. Rakyat juga selalu memujinya. Pengalaman baginda sebagai duta di banyak negara memberi kelebihan kepada baginda terutama dalam selok-belok pentadbiran negeri.
"Kalau kita bertanya soalan kepadanya, baginda ambil masa untuk menerangkannya. Malah, kalau dijemput ke mana-mana acara, Tuanku seboleh-bolehnya cuba untuk hadir. Semangat kerjanya kuat, cuma hari-hari terakhirnya Tuanku kurang sihat.
"Tuanku juga sentiasa menyiapkan diri untuk acara yang akan dihadirinya. Tuanku akan memeriksa teks ucapan yang akan dibacanya sehari sebelum acara. Sikap baginda yang tidak cerewet juga membuatkan kita seronok hendak bekerja dengannya," cerita Norzam panjang lebar.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/
Hakcipta terpelihara

































Tiada ulasan: