Rabu, 30 Mei 2012

CEUPACS minta kaji gaji pembantu tadbir

Tertarik dengan satu keratan akhbar pada hari ini bertajuk “CEUPACS minta kaji gaji pembantu tadbir” pastinya semua kakitangan kerajaan khususnya mereka yang berada dalam skim perkhidmatan Pembantu Tadbir menyambut baik cadangan CUEPACS itu. Ini adalah kerana bilangan Pembantu Tadbir yang ramai dalam perkhidmatan awam.

Jom baca dan nilai sendiri apakah cadangan yang dikemukakan itu, disamping itu juga jangan lupa untuk memberikan komen yang membina untuk memperjuangkan nasib Pembantu Tadbir yang tiada penambahbaikan dari segi laluan kerjaya mereka seolah-olah mereka ini dipinggirkan dari segi peluang penambahbaikan laluan kemajuan kerjaya mereka. Ada diantara mereka ini sebelum pelaksanaan KUP 15 tahun menamatkan perkhidmatan di gred lantikan.

30 Mei 2012 - KUALA LUMPUR: CUEPACS mencadangkan gred minimum N17 pembantu tadbir dikaji semula selain membuka ruang kenaikan pangkat golongan itu daripada gred maksimum N26 kepada gred bersepadu N42.

Cadangan itu bagi membolehkan kenaikan kerjaya dan pangkat lebih luas kepada 80,000 pembantu tadbir yang dikelompokkan dalam kumpulan sokongan kerajaan.

CUEPACS juga mencadangkan gelaran jawatan itu ditukar kepada pegawai kerani atau pegawai hemat tadbir bagi melambangkan peranan kelompok itu selaku kumpulan sokongan yang melicinkan urusan pentadbiran.
Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan melalui suruhanjaya khas penambahbaikan sistem saraan baru perjawatan awam yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.
Katanya, kajian gred kelompok kakitangan kerajaan itu perlu dilakukan sejajar perubahan tuntutan tugas dan cabaran golongan itu, selain peningkatan taraf hidup rakyat. “Cadangan sebenar (gred minimum) dibincang pada 12 hingga 14 Jun ini dalam bengkel semakan skim gred gaji penjawat awam anjuran CUEPACS di Muar, Johor. “Cadangan dibawa kepada suruhanjaya yang akan diumumkan Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-16 Kesatuan Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Rendah Pendidikan (KEPTAN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, semalam. Mengulas lanjut, Omar berkata, kajian semula gred minimum N17 bermakna kelompok itu akan menerima kenaikan gaji pokok yang kini dibayar RM926.60 sebulan. “Gred (minimum) jawatan jururawat juga U19, jadi (gred bagi jawatan) pembantu tadbir kerajaan juga perlu dikaji semula,” katanya. Katanya, kenaikan gred bersepadu memberi mereka peluang kenaikan pangkat gred bersepadu yang mengambil kira pengalaman, kemahiran dan sumbangan kepada organisasi tanpa perlu merujuk kepada kelulusan akademik. “Maknanya (bagi gred bersepadu) tak perlu ada ijazah atau diploma tetapi ambil kira pengalaman, kemahiran dan sumbangan. Namun, bukan semua boleh dapat gred ini, hanya mereka yang layak,” katanya.
Apakah pendapat anda mengenai isu ini, cadangan anda terhadap penambahbaikan skim perkhidmatan yang paling ramai penyandangnya dalam perkhidmatan awam ini. Perlukah kerajaan melakukan perubahan (Tranformasi) atau anjakan paradigma dalam perkhidmatan awam yang pada masa ini (sekarang) melalui beberapa kumpulan perkhidmatan iaitu Gred 1-16, Gred 17-26, Gred 27-40 dan Gred 41-54. Mungkin juga kemasukkan ke dalam perkhidmatan awam pada masa akan datang cuma pada tahap kemasukkan terendah iaitu Gred 1 ataupun Gred 11 ataupun Gred 17… Dimana semua mereka ini perlu bersaing untuk mendapatkan kenaikan ke gred seterusnya. Bagi mereka yang memiliki kelayakan akademik yang lebih tinggi walaupun dilantik pada gred lantikan minimum namun kerana usaha mereka bagi meraih kelayakan akademik ini wajar diberikan gaji permulaan yang lebih tinggi berdasarkan kelayakan akademik yang dimiliki oleh mereka… Mungkin juga perkhidmatan awam perlukan satu model baru perkhidmatan awam dimana perkhidmatan awam diasingkan kepada beberapa bahagian merujuk kepada klasifikasi perkhidmatan.
imageContoh model perkhidmatan awam 
Setiap penjawat awam yang memasuki perkhidmatan awam hanya dilantik ke gred lantikan sahaja tidak kira apakah kelayakan akademik yang mereka miliki. Mereka perlu bersaing (peperiksaan/penilaian) secara bebas untuk mendapatkan gred yang lebih tinggi diantara mereka sekiranya terdapat dua (2) atau lebih calon yang memperolehi rating yang sama maka keutamaan diberikan kepada mereka yang memiliki kelayakan akademik. Ini akan membolehkan hanya calon yang terbaik dan berprestasi kekal dalam perkhidmatan awam. Di samping itu juga, akan mewujudkan satu persekitaran kerja yang berkualiti kerana adanya peluang kemajuan dalam perkhidmatan.
Pada peringkat pengurusan pula terbahagi kepada 2 kumpulan mengambil kira pengalaman untuk menguruskan klasifikasi perkhidmatan keselamatan dan ketenteraan berbeza dengan klasifikasi perkhidmatan yang lain. Mana-mana pegawai yang telah mencapai gred tertinggi klasifikasi perkhidmatan boleh dilantik ke gred utama/ khas mana-mana klasifikasi perkhidmatan Perubatan, Sosial, Pentadbiran & Kewangan, Teknikal & Kejuruteraan dan perkhidmatan Tentera, Pertahanan & Keselamatan Awam.
Model perkhidmatan awam ini perlu dikaji secara menyeluruh dari isu pengurusan, perjawatan, penempatan, kemampuan kewangan dan pelaksanaannya. Dari segi tempoh pelasanaannya mengambil masa yang lama bagi menggantikan keseluruhan model perkhidmatan yang sedia ada memandangkan model perkhidmatan sedia tidak pernah berubah bentuknya, cuma strukturnya sahaja yang berubah dengan penambahbaikan berbentuk penempelan dan gantian. Tetapi bagi memastikan perkhidmatan awam Malaysia selari dan dapat diterima pada masa hadapan perubahan menyeluruh kepada model perkhidmatan awam adalah perlu.
Dalam melaksanakan perubahan atau YAB Perdana Menteri lebih suka menggunakan Transformasi, memang akan mendapat tentangan kerana mereka yang berada dalam perkhidmatan awam sememangnya telah selesa dengan keadaan sedia ada dan takut untuk berubah kerana tidak mahu keluar dari kelompok keselesaan yang dinikmati. Beberapa tinjauan pendapat dikalangan penjawat awam didapati dan kebanyakan mereka tidak melihat jauh kehadapan, mereka hanya memikirkan apa yang mereka terima dan akan terima tanpa memikirkan apa akan terjadi kepada anak-anak mereka, keturunan mereka suatu masa nanti.
Paradigma mereka ini perlu diubah terlebih dahulu agar dapat menerima perubahan kepada model perkhidmatan awam yang lebih berdaya saing demi mengekalkan penjawat awam yang berprestasi tinggi bagi menjayakan matlamat dan wawasan negara.
Era pekerja berkemahiran telah berakhir begitu juga pekerja yang berpengetahuan. Apa yang kita perlukan adalah pekerja berprestij iaitu pekerja bukan sekadar memiliki pengetahuan (ilmu), kemahiran, pengalaman dan visi untuk berjaya.

Tiada ulasan: