Gabungan Penulis Nasional (Gapena) menyalahkan pemimpin negara yang gemar menggunakan bahasa Inggeris dalam pelbagai program, termasuk dalam acara rasmi, sehingga merencatkan usaha memartabatkan bahasa Melayu.
Secara sinis, gabungan terbesar 21 persatuan penulis itu berpendapat, terdapat pemimpin mahu kelihatan Melayu hanya dengan berpakaian tradisi, tetapi gemar berbahasa Inggeris walaupun tidak betul.
"Dia (pemimpin) memikirkan bahasa asing itu hebat. Dia tahu (bahasa kebangsaan) tetapi dia tolol sedikit," kata Ketua Satu Gapena Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar sambil menggelar golongan itu "tolol bahasa".
"Misalnya, kerajaan sudah berulang kali (tetapkan) mesyuarat kerajaan dalam bahasa Melayu tetapi kami dapat maklum balas ada yang buat dalam bahasa Inggeris."
Sambil mempersoalkan patriotisme pemimpin itu, Dr Abdul Latif berkata, 'kejanggalan' itu juga dilihat dalam laporan berita di kaca televisyen berbahasa Melayu apabila pemimpin negara bercakap menggunakan bahasa Inggeris.
"Wartawan tanya dalam bahasa Melayu, dia jawab bahasa Inggeris juga. Itu pun nahunya (bahasa Inggeris) salah," katanya sambil ketawa kecil.
Malah, kata Dr Abdul Latif, mereka juga sedang mengusahakan rancangan khas di RTM untuk menyindir golongan tersebut yang menggunapakai judul sama "tolol bahasa" yang kini dalam proses penyediaan skrip.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini di Kuala Lumpur baru-baru ini, Dr Abdul Latif juga berkata, fenomena itu turut mendorong Gapena menubuhkan Majlis Pemantauan dan Tindakan Bahasa Kebangsaan untuk memantau penggunaan bahasa Melayu di sektor awam.
Perkataan 'presint' di Putrajaya?
Majlis itu, yang ditubuhkan sebagai sebahagian daripada resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan pada Oktober lalu, walaupun tiada penguatkuasaan bertujuan mengingatkan pelbagai pihak.
"Kita pun tak boleh mengenakan penguatkuasaan (bersifat) kekasaran, (kita hanya) mengingatkan supaya mereka berasa malu.
"Pemimpin yang tolol bahasa ini berubahlah, bertaubatlah. Ini negara kita ada bahasa kita, bukan bahasa asing. Gunakanlah bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan," katanya.
Ditanya sama ada tindakan itu bertindih dengan peranan audit bahasa yang dijalankan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Abdul Latif menberitahu, sebagai NGO mereka akan lebih mudah bersuara dan menegur.
"Kalau Dewan Bahasa, hal-hal berkaitan kerajaan, mereka tak boleh ke depan. Sebab itu mereka ada audit bahasa. Bagi kami, kami bebas (untuk menegur).
"Kalau Dewan Bahasa nak tegur PM depan-depan tak boleh, kami boleh (tegur) tetapi secara terhormat," katanya.
Ditanya tindakan kerajaan menyerap banyak istilah bahasa Inggeris secara terus ke dalam bahasa Melayu seperti perkataan "presint" di Putrajaya, Dr Latif berkata ia kini semakin berubah sedikit demi sedikit.
"Banyak lagi kerajaan buat perubahan tetapi bukan secara melulu. Misalnya Istana Kehakiman dahulu dalam bahasa Inggeris. Presintpun ada rasionalnya tetapi (perubahan) ini berperingkat-peringkat akan dilaksanakan.
"Yang penting kita hendakkan pemimpin yang cinta dan hayati bahasa kebangsaan," katanya lagi.
Ini adalah kerana kita asyik menggunakan Bahasa Malaysia dalam kehidupan seharian kita. Bahasa Malaysia adalah bahasa harian yang digunakan oleh setiap kelompok rakyat Malaysia, ianya lebih dikenali sebagai Bahasa Pasar.. tanpa sedar DBP selaku agensi pusat untuk memertabatkan Bahasa Melayu juga mengikut apa yang diperkatakan oleh pemimpin yang berucap tanpa mengendahkan perkataan yang diucapkan apatah lagi gaya bahasa, tata bahasa (syntac).
Sebagai rakyat Malaysia.. kita seharusnya berani bersuara… apabila Bahasa kebangsaan kita diperlekeh… hari ini kita lihat penggunaan perkataan Transformasi… sedangkan dalam Bahasa Melayu ada perkataannya… iaitu perubahan… kenapa perlu kita mengagongkan bahasa asing.. dan selalunya kita Melayukan bahasa asing…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan