Akhirnya Roket Mendarat Di Bulan,... Disalik Sebuah Konspirasi
Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi DAP Karpal Singh  pada petang ini bahawa calon-calon DAP akan menggunakan logo PAS di  Semenanjung Malaysia dan logo PKR di Sabah dan Sarawak di dalam  pilihanraya umum 5 Mei ini. Ini berikutan sehingga jam 3 petang hari  ini, DAP belum mendapat mendapat sebarang respon penarikan balik surat  penggantungan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu daripada  Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan juga tiada tanda-tanda surat itu akan  tiba.
 
 Saya ingin melahirkan simpati kepada DAP di atas tragedi  yang menimpa mereka di saat-saat akhir penamaan calon besok hari. Sudah  tentu tidak dapat dibayangkan kesedihan yang melanda ekoran terpaksa  mengenepikan lambang rasmi yang telah digunakan zaman berzaman. Isu logo  sekalipun mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, tetapi ia  melambangkan maruah dan harga sebuah perjuangan.
 
 Dari sudut  yang lain, kesediaan DAP menggunakan logo PAS ini saya sifatkan sebagai  detik bersejarah dalam perjuangan PAS semenjak lebih separuh abad ia  ditubuhkan. Dalam melayari bahtera politik tanah air, PAS dan DAP sering  dilagakan oleh UMNO/Barisan Nasional. Di hadapan bangsa Melayu,  pemimpin UMNO menakut-nakutkan mereka dengan bahaya DAP dan begitu juga  sebaliknya di hadapan bangsa Cina, mereka digembar-gemburkan dengan imej  PAS sebagai taliban, radikal dan sebagainya. Natijahnya, Melayu Islam  dan bukan Melayu terus hidup dalam keadaan syak wasangka antara satu  sama lain. 
 
 Hari ini, benteng tersebut telah runtuh sepenuhnya.  DAP tanpa takut-takut lagi telah merobohkan persepsi ini apabila  bertindak berani memilih logo PAS untuk bertanding di kawasan-kawasan  yang telah diperuntukkan kepada mereka khususnya kawasan yang mempunyai  majoriti pengundi Cina. Saya kira, inilah saat di mana perjuangan PAS  sudah tidak menjadi kegerunan lagi kepada bangsa Cina. Sekalipun ia  masih belum diterima sepenuhnya, namun sedikit demi sedikit ia telah  hilang.
 
 Saya mengimbau kembali saat ketika Perjanjian  Hudaibiyyah dimeterai antara Rasulullah SAW dan orang-orang Musyrikin  Mekkah. Kabilah-kabilah Arab di sekitar Madinah yang masih belum memeluk  Islam mengambil keputusan untuk bernaung di bawah naungan kerajaan  Islam Madinah. Di saat itulah, sahabat-sahabat Rasulullah SAW diuji  dengan rasa terhina akibat melihat secara zahir bagaimana perjanjian  tersebut berat sebelah. Namun kesabaran mereka segera diganjari oleh  Allah SWT apabila perjanjian tersebut membuka peluang Rasulullah SAW  menakluki kota Makkah apabila perjanian tersebut dilanggar di mana Bani  Khuzaah yang masih belum memeluk Islam dan berlindung di bawah naungan  Islam diserang oleh kaum Musyrikin. 
 
 Alhamdulillah, ketika UMNO  masih menjaja keris tumpulnya merata-rata, perjuangan PAS sudah mula  diterima di kalangan non muslim. Ketika UMNO main kayu tiga dengan  perjuangan bangsa Melayu, PAS terus ke hadapan membawa misi dakwah  dengan slogan PAS for All. Non Muslim di sana sini tidak lagi segan silu  membawa bendera PAS dan sebaliknya tidak pernah kita saksikan mereka  membawa bendera keris tidak bersarung milik UMNO.
 
 Saya yakin,  benih Islamphobia yang disemai UMNO semakin mati tunasnya. Keputusan DAP  ini insya-Allah satu rahmat besar buat PAS. Ia sebenarnya rezeki buat  perjuangan Islam. Mungkin Barisan Nasional merasakan langkah ini bakal  membantutkan gerak langkah Pakatan Rakyat, namun sesungguhnya ia  mengandungi rahmat yang sangat besar. Jika Perjanjian Hudaibiyyah  membuka jalan kepada pembukaan kota Makkah, maka tidak mustahil langkah  kerajaan Barisan Nasional ini sedang membuka kepada pembukaan Putrajaya  dan pembinaan Malaysia Baru. Tidak mustahil tarikh 6 Mei 2013 nanti,  perayaan besar-besaran kemenangan rakyat akan berlangsung di seluruh  negara menyaksikan keruntuhan Barisan Nasional. 
 
 Yakinlah  keputusan ini membuka pintu sejarah yang akan dikenang zaman berzaman.  Inilah saatnya di mana akhirnya roket berjaya mendarat di bulan!
 
 Salam hormat,
 
 NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
 Al-Mursyidul Am,
 Parti Islam Semalaysia (PAS)
 
 
 
 
          
      
 
  
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan