Jumaat, 3 Mei 2013

Wanita Puas Seks Lebih Jelita

DIKATAKAN hubungan seks mampu mengubati apa jua penyakit yang singgah ke tubuh. Malah, kenyataan ini mulai dipersetujui oleh penyelidik-penyelidik perubatan. Kata mereka, aktiviti seks yang teratur berupaya memperbaiki peredaran darah, menghalang penyakit dan berkemungkinan besar meningkatkan tahap imunisasi badan.
Begitu juga dari sudut emosi. Dipercayai, wanita-wanita yang cukup puas mendapat keperluan jasmani kurang berhadapan masalah tekanan perasaan malah memiliki daya keyakinan diri yang tinggi selain penampilan keseluruhan yang lebih positif. Sebenarnya, apa yang dinyatakan itu hanya sebahagian daripada keseronokan mengadakan hubungan asmara. Ada beberapa keistimewaan melakukan seks selepas berkahwin.
Wajah berseri
Tidak dinafi, kebanyakan wanita berkongsi pendapat yang sama iaitu hubungan seks yang dilakukan secara teratur mampu membuatkan kulit menjadi lebih mulus dan bersinar malah jelita. Benarkah begitu?
Dikatakan, kebangkitan fizikal tidak hanya meningkatkan peredaran darah sebaliknya berupaya menaikkan paras estrogen yang berfungsi untuk mengekalkan kulit wajah yang berminyak dan lembut. Dalam masa yang sama, ia juga membuatkan rambut kelihatan lebih lebat dan sihat.
Bentuk tubuh yang menarik
Letih bersenam di gimnasium atau penat berdiet semata-mata untuk mendapatkan tubuh badan yang cantik? Sebenarnya, terdapat cara yang lebih mudah untuk merealisasikan impian anda itu. Cukup hanya di rumah dan banyakkan belajar dari suami ketika mengadakan hubungan kelamin. Masih tidak faham? Sebenarnya, ketika anda melakukan seks, anda sebenarnya sedang bersenam tetapi gaya senaman yang dilakukan lebih menyeronokkan kerana saling bekerjasama.
Seseorang yang mempunyai kehidupan seksual yang lengkap dan teratur secara automatiknya memiliki daya keyakinan diri yang tinggi lantaran merasakan senaman tersebut serasi dengan tubuh.
Hilangkan lenguh-lenguh badan
Letih bermain badminton belum hilang ditambah pula dengan rasa sengal-sengal badan. Mungkin kerana lama tidak bersukan jadi ada sahaja urat-urat yang bersimpul dileraikan. Lazimnya, khidmat tukang urut diperlukan tetapi dalam hal ini, pasangan adalah ‘doktor’ yang paling hebat.
Cari waktu yang menarik untuk berdua-duaan dengan pasangan dan nikmati keseronokan tanpa gangguan daripada anak-anak. Pasti kesakitan yang ditanggung itu mampu dipulihkan setelah hubungan seks dilakukan.
Kenapa? Ini kerana setiap kali hubungan kelamin berlangsung, sejenis hormon yang dinamakan endorphin telah dikeluarkan yang mana ia adalah ubat penahan sakit secara semula jadi yang dikeluarkan oleh tubuh.
Malah, penulis buku “The Healing Power of Sex” menjelaskan bahawa sekali orgasma mampu menjauhkan seseorang dari sakit selama enam jam.
Kitaran haid yang teratur
Menurut Winnifred Cutler, pengarang buku “Love Cycles”, wanita yang mengadakan hubungan seks setiap minggu mudah menjangkakan kedatangan haid berbanding wanita-wanita bujang atau kurang melakukan hubungan kelamin dengan pasangan.
Ini kerana, wanita yang mempunyai pusingan haid yang teratur lebih mudah menjangkakan bila waktu suburnya. Jadi, dengan mudah keduanya merancang untuk memiliki cahaya mata setelah mengetahui waktu penting tersebut. – sinarharian

Cinta & Nafsu Berasal Dari Otak, Bukan Hati!

TERKADANG, orang tidak boleh membezakan antara cinta dan nafsu. Mereka merasa bahawa hal tersebut berada dalam satu otak yang sama. Akan tetapi, cinta atau nafsu bergantung pada daerah mana otak akan diaktifkan.

Dalam sebuah kajian antarabangsa baru-baru ini menyatakan bahawa para penyelidik mendapatkan keputusan mengenai perasaan yang berkaitan antara keeratan cinta dan hasrat seksual di otak manusia. Oleh kerana itu, kajian moden telah memberitahu kita bahawa kehidupan cinta berasal dari otak bukan dari hati.

"Tidak ada seorang pun yang pernah meletakkan kedua-duanya untuk melihat pola pengaktifan," kata Jim Pfaus, professor of psychology dari Universiti Concordia. Kami tidak pernah tahu apa yang diharapkan, kedua-duanya boleh berakhir menjadi benar-benar berasingan. Ternyata, cinta dan keinginan aktif pada kawasan tertentu, tetapi berkaitan di otak, "sambungnya.

Para penyelidik mendapati bahawa struktur kedua-duanya berada dalam otak yang berkaitan dengan insula dan striatum, di mana bertanggungjawab mengesan perkembangan dari hasrat seksual untuk mencintai. Insula adalah sebahagian daripada korteks serebral yang dilipat jauh ke dalam wilayah antara lobus temporal dan lobus frontal, sedangkan striatum terletak di sisinya, dalam otak depan.

Cinta dan ghairah seksual mengaktifkan berbagai wilayah striatum. Daerah itu dimulakan oleh hasrat seksual yang biasanya oleh kegiatan menyenangkan, seperti seks atau makanan.

"Cinta sebenarnya adalah sebuah kebiasaan yang terbentuk daripada hasrat seksual sebagai keinginan yang dihargai. Dia bekerja dengan cara yang sama di otak, seperti ketika orang ketagihan pada ubat-ubatan," katanya.

"Sementara keinginan seksual mempunyai tujuan yang sangat khusus, cinta lebih abstrak dan kompleks, sehingga tidak terlalu bergantung pada kehadiran fizikal seseorang," tutup Pfaus.

Kemuliaan Waktu Jumaat Yang Tidak Mendapat Tempat

BAGI negeri-negeri yang hujung minggu mereka bukan pada hari Jumaat, negeri-negeri yang terlibat termasuklah Wilayah-Wilayah Persekutuan telah memperuntukkan waktu rehat yang lebih panjang pada hari berkenaan.

Ia bagi memberi ruang dan keselesaan kepada umat Islam untuk menyahut perintah Allah SWT sebagaimana yang terkandung dalam ayat 9, Surah al-Jumu'ah yang antaranya bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (masjid), untuk mengingati Allah (solat Jumaat), dan tinggalkanlah jual beli. Demikian itu adalah lebih baik, jika kamu mengetahuinya".

Perintah Allah ini hukumnya wajib kecuali dalam keadaan yang tertentu sebagaimana mafhum Hadis yang diriwayatkan oleh an-Nasa'i. Secara dasarnya juga berjual beli selepas laungan azan yang pertama, adalah haram hukumnya. Maka, secara ringkasnya terdapat dua perkara utama dalam ayat al-Quran ini, iaitu kewajipan menunaikan solat Jumaat kepada lelaki Muslim yang telah baligh dan diharamkan bagi mereka berjual beli pada waktu solat Jumaat.

Selanjutnya, dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, Rasulullah SAW bersabda yang antara mafhumnya menyatakan bahawa, sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut dengan sengaja, maka Allah SWT akan menutup pintu hatinya daripada menerima petunjuk.

Berdasarkan kepada nas-nas yang ada ini, maka pihak pemerintah memperuntukkan undang-undang bahawa lelaki yang telah baligh dan tidak menunaikan solat Jumaat selama tiga kali berturut-turut tanpa sebarang keuzuran, adalah melakukan kesalahan. Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan, ataupun menerima kedua-dua hukuman itu. Contohnya di Seksyen 14 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 atau Akta 559.

Walau bagaimanapun, dengan ruang dan kemudahan yang telah disediakan ini, pada waktu umat Islam mengerjakan solat Jumaat, malangnya masih ramai kaum lelaki (yang kita yakin bahawa mereka ini beragama Islam), tidak bersama-sama melaksanakan solat Jumaat, malah, bebas melakukan pelbagai aktiviti.

Sehubungan dengan perkara ini juga, ramai kalangan wanita pula yang mengambil peluang pada waktu rehat yang lebih panjang ini untuk keluar membeli-belah. Dalam hal ini, mereka perlu bersikap berhati-hati untuk melakukan urusan jual beli sekalipun secara umumnya, hukum untuk bermuamalat bagi kalangan wanita dalam waktu solat Jumaat adalah harus.

Walau bagaimanapun, berjual beli dengan lelaki yang berkewajipan untuk menunaikan solat Jumaat adalah disifatkan sebagai menyokong lelaki berkenaan untuk tidak melaksanakan kewajipan yang telah pun diperintahkan Allah SWT. Maka, hukumnya adalah berdosa kerana bersubahat dengan pelanggaran kewajipan berkenaan. Sekalipun, keabsahan urusan jual beli itu tidak dipertikai.

Dalam kedudukan agama Islam bagi negara ini bukan sekadar sebagai agama rasmi semata-mata kerana ia agama negara, fenomena tidak memuliakan waktu solat Jumaat tentulah amat menyedihkan dan amat malang. Sesuatu perlu dilakukan bagi memperlihatkan bahawa Islam di Malaysia adalah agama yang benar-benar dimuliakan. Pada masa sama untuk menyedarkan orang awam bahawa kewajipan untuk melaksanakan perintah Allah SWT merupakan perkara yang amat serius.

Tidak dinafikan sukar untuk menguatkuasakan peruntukan sedia ada kerana perlanggaran undang-undang hanya berlaku apabila tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, tetapi berdasarkan kepada konsep hisbah, ruang yang ada sebenarnya masih luas untuk memulihkan fenomena yang berlaku.

Antara konsep hisbah yang dilaksanakan pada zaman pemerintahan Khalifah Sayidina Umar al-Khattab adalah dengan melantik seorang wanita sebagai penyelia pasar bagi menjaga keamanan tempat berkenaan dan pasar dapat beroperasi dengan baik. Maka, tindakan beliau ini tentulah boleh dicontohi dengan melaksanakan rondaan oleh penguat kuasa dalam kalangan pegawai wanita di tempat-tempat awam termasuklah di premis-premis makanan atau di tempat-tempat membeli-belah.

Teguran atau mengambil kenyataan boleh dilakukan atas asas bahawa meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja walaupun sekali adalah berdosa. Tindakan seperti ini adalah usaha untuk menerbitkan rasa malu dan bersalah kalangan lelaki telah baligh dan tidak mempunyai sebarang keuzuran kerana tidak menghormati waktu solat Jumaat.

Masih terdapat ruang bagi menambah baik peruntukan sedia ada. Melalui pendekatan siasah syar'iyyah "kesalahan tidak menghormati waktu solat Jumaat" barangkali boleh diperuntukkan sebagaimana peruntukan "kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan". Iaitu, kesalahan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi kariah yang kecil, pemantauan terhadap ahli kariah mungkin boleh dilaksanakan berbanding di kariah yang jauh lebih besar. Cadangan untuk mewujudkan buku kehadiran di masjid-masjid di kariah yang kecil, barangkali boleh difikirkan bagi memupuk kesedaran tentang pentingnya bersolat Jumaat.

Kalangan yang tidak berkewajipan untuk melaksanakan solat Jumaat seperti kaum wanita dan mereka yang sedang bermusafir juga sebenarnya boleh melakukan peranan tertentu. Elakkan berurusan dengan peniaga-peniaga lelaki Islam dengan hanya berurusan dengan peniaga wanita, ataupun menunggu sehingga waktu yang haram itu berlalu.

Sekiranya mempunyai kekuatan untuk menegur, katakan bahawa ia adalah perbuatan yang haram. Sebilangan daripada kita mungkin selama ini tidak sedar dan sebilangan lagi barangkali tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius. Perlu difahami bahawa mencari keredaan daripada Allah SWT adalah dengan mengelak daripada kemurkaan-Nya.

Satu riwayat menyatakan bahawa ayat 11 Surah al-Jumu'ah diturunkan pada ketika Rasulullah SAW sedang berkhutbah dan pada masa sama rombongan dagang dari Sham tiba, yang mengakibatkan para ahli jemaah keluar dari masjid kecuali beberapa orang, bagi menyambut rombongan berkenaan. Umat Islam harus menginsafi dan menghayati ayat berkenaan yang memberi maksud bahawa pahala yang dianugerahi oleh Allah itu lebih baik berbanding nilai hiburan atau dagangan.

Apabila Allah menyatakan bahawa Dia adalah sebaik-baik pemberi rezeki, antaranya ia turut memberi makna bahawa, menolak untuk bermuamalah dengan kalangan yang wajib menunaikan solat Jumaat itu adalah perkara yang amat terpuji dan meyakini bahawa kehidupan kita akan dilimpahi rahmat.

Kalangan yang sengaja tidak menghormati waktu Jumaat dan tidak melaksanakan perintah solat ini seolah-olah meletakkan diri mereka serendah hamba sahaya kerana dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan al-Hakim Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara golongan yang dikecualikan untuk melakukan solat Jumaat ialah hamba sahaya.

Mahalnya Wang Hantaran!

RAMAI pasangan gagal meneruskan perkahwinan hingga bercerai-berai kerana menghadapi tekanan emosi. Antaranya, akibat masalah tidak cukup wang belanja selepas hidup berpasangan atau setelah mempunyai cahaya mata.

Perunding motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh berkata, kes sedemikian banyak berlaku kepada pasangan yang membuat pinjaman peribadi dengan bank atau institusi kewangan. Bahkan ada yang berhutang dengan pemberi pinjam tanpa lesen (ah long) bagi menyediakan wang hantaran dan kos kenduri.

“Ramai datang ke klinik kaunseling saya mengadu tertekan sebab terpaksa membayar hutang ketika melangsungkan majlis perkahwinan. Sedangkan perbelanjaan harian berubah bila dah hidup berdua dan beranak-pinak. Peringkat awal semua nampak manis. Cinta masih baru. Tak nampak kesan. Lepas berbulan atau setahun dua, pasangan itu akan rasa kesannya. Gaji tidak seberapa tapi hutang yang beribu kena bayar setiap bulan. Bayangkan kalau individu baru tamat universiti berkahwin secara berhutang,” ujar beliau.

Hushim menambah, sedia maklum pasangan baru tamat pengajian jika makan gaji tidak akan terus menerus menerima gaji lumayan. Selepas berkahwin banyak belanja hendak guna seperti duit sewa rumah, bil air dan elektrik, peralatan serta makan minum. Perbelanjaan makin bertambah setelah pasangan mendapat anak.

“Tapi gaji suami atau isteri dipotong setiap bulan sebab nak bayar hutang. Mungkin juga tolak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau sesetengah tu tolak hutang belajar. Secara psikologi bila tak cukup duit, biasanya pasangan saling mempertikai dan mengaitkannya dengan hutang wang hantaran dan belanja kahwin dulu,” jelas Hushim.

Tambahnya, akibat pertengkaran tidak berkesudahan, emosi pasangan terganggu serta tertekan. Mereka mula memikirkan semula diri pasangan hingga ada beranggapan tidak mengenali pasangan yang sudah dinikahi. Dalam erti kata lain ungkit mengungkit.

Bila bertengkar, macam-macam perkataan disebut. Terkeluar sifat sebenar pasangan. Bergaduh setiap masa. Ketika inilah mereka terlupa soal cinta. Dah tak kenal cinta. Cinta jadi retorik semata-mata. Daripada cinta terbalik jadi benci. Masalah akan lebih teruk dan tidak berkesudahan kalau ada yang masuk campur keluarga kedua-dua pihak. Tapi tidak mampu menyelesaikan konflik. Kepada pasangan yang gagal mencapai persefahaman kebiasaannya mengambil keputusan bercerai.

“Ada kes seorang pensyarah buat kenduri kahwin besar-besaran. Tapi bercerai selepas 15 hari. Bila lalui kaunseling, puncanya sebab bertengkar dan ungkit mengungkit wang hantaran serta belanja kenduri. Waktu bersanding hanya ingat yang indah-indah. Tapi lepas selesai majlis, baru sedar terlalu banyak guna duit. Lalu saling menyalahkan sesama sendiri dan mula fikir tak sefahaman. Akhirnya bercerai,” akhiri beliau. - sinarharian

Masalah Moral Remaja

STATISTIK gejala moral dan jenayah yang melibatkan remaja akhir-akhir ini sangat membimbangkan kita. Ini adalah kerana, remaja adalah merupakan golongan yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.

Tindakan segera perlu diambil, khususnya oleh ibu bapa dan keluarga apabila mendapati anak-anak mereka terlibat dalam jenayah dan salah-laku.

Kes-kes jenayah yang semakin meningkat seperti; buang bayi, penyalahgunaan dadah, zina, rempit dan lumba haram, ponteng sekolah dan sebagainya memerlukan tindakan secara kolektif dan bersepadu.

Kes-kes jenayah di kalangan remaja hari ini sebenarnya bermula dari rumah. Ia bermula apabila ibu dan bapa tidak mampu lagi mengawal tingkah laku anak-anak mereka. Kadang-kadang ibu bapa seolah-olah 'menghalalkan' perbuatan anaknya apabila tidak melakukan sebarang tindakan apabila melihat anaknya melakukan maksiat di hadapan mata.

Sebagai contoh, ada di kalangan ibu bapa tidak menghalang anak perempuan mereka untuk membonceng motor teman lelakinya yang menjemput di rumah. Tidak dinafikan ada di kalangan ibu bapa yang berada dalam dilema kerana bimbang anak-anak mereka lari dari rumah sekiranya sikap mereka itu ditegur.

Lihat sahaja statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2010 yang menunjukkan kes remaja lari dari rumah meningkat dengan angka mencatatkan sebanyak 4,097 remaja yang membabitkan seawal usia 13 hingga 17 tahun.

Apabila berada di sekolah, lagak gaya anak-anak ini semacam kumpulan kongsi gelap atau samseng sehingga menyebabkan sesetengah guru berfikir dua kali untuk menegur mereka.

Satu perkara yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW telah diabaikan oleh para ibu bapa pada hari ini dalam konsep mendidik anak-anak yang melakukan kesalahan. Pastinya keingkaran atau keengganan mematuhi perintah Rasulullah SAW itu mengundang kepada kehancuran institusi keluarga, masyarakat dan negara.

Cuba kita hayati sebuah hadis Rasulullah yang berbunyi: "Suruhlah anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukullah pada usia mereka 10 tahun serta pisahkanlah tempat tidur mereka." (riwayat Ahmad, Abu Daud dan Hakim)

Tanpa kita sedari bahawa rupa-rupanya inilah perkara yang menjadi punca kepada segala permasalahan jenayah dan gejala sosial yang tak pernah kunjung hentinya. Sebab itulah walaupun berbagai-bagai program dilakukan oleh kerajaan bagi menangani situasi ini namun sudah pasti tanpa melakukan segala perintah dan tanpa akur kepada larangan Allah SWT dan Rasul-Nya maka mustahil jenayah dan masalah moral remaja dapat kita atasi.

Kelazimannya apabila sesuatu kejadian jenayah berlaku, masyarakat secara langsung menganggap tugas menanganinya adalah terletak di bahu pihak berkuasa sahaja. Dan sememangnya menjadi tugas dan tanggungjawab mereka untuk menjalankan siasatan seterusnya.

Namun harus diingat peranan dan tanggungjawab masyarakat lebih utama dalam memastikan kejadian jenayah dapat dibendung. Fakta membuktikan bahawa institusi kekeluargaan adalah merupakan penentu kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Dalam hubungan ini, peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak yang bakal mewarisi generasi akan datang dapat dibuktikan melalui hadis nabi SAW yang berbunyi: Setiap anak yang dilahirkan adalah suci maka terpulanglah kepada ibu bapanya dalam mencorakkan masa depan anaknya, sama ada menjadi yahudi, nasrani atau majusi. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun begitu, ibu bapa tidak wajar dipersalahkan 100 peratus terhadap masalah yang berlaku. Sebenarnya, setiap ahli masyarakat memikul tanggungjawab dalam memastikan masalah moral remaja dapat dibendung.

Dalam hubungan ini jelas kepada kita bahawa tanggungjawab dalam menangani jenayah serta kemungkaran yang berlaku telah menjadi kewajipan serta tanggungjawab yang mesti ditunaikan oleh semua pihak.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Barang siapa melihat suatu kemungkaran maka hendaklah ia cegah dengan tangannya (kekuasaan) jika tidak mampu cegahlah dengan lisannya (nasihat) dan jika tidak mampu juga maka hendaklah dicegah dengan hati (rasa benci). Demikian itu adalah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim)

Kesimpulannya, dalam membendung gejala tidak sihat ini daripada terus berlaku, semua pihak perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikannya. Gunakanlah garis panduan yang sarat terkandung dalam al-Quran dan hadis.

Paling penting, jadikan agama dalam asas pendidikan dan pembinaan jati diri remaja. Insya-Allah kita akan menemui jalannya.