Jumaat, 12 Julai 2013

Tangani gejala kehamilan gadis

Putrajaya: Malaysia berusaha keras menerusi penggubalan pelbagai dasar bagi menangani gejala kehamilan gadis remaja kerana ia adalah bentuk diskriminasi terhadap golongan itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Karim, berkata antara yang dilaksanakan kementerian, termasuk menggubal Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI), bertujuan menghasilkan individu yang berpengetahuan dan mempunyai sikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif dan sosial.

Katanya, menerusi pelan tindakan dasar itu, kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN) membangunkan pelbagai program untuk setiap lapisan masyarakat bermula daripada sekolah rendah hingga menengah dan dilaksanakan sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan.

Respek Wanita

Selain itu, kementerian juga melancarkan Kempen Respek Wanita bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat di Malaysia khususnya wanita mengenai isu keganasan terhadap wanita.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya kaum lelaki agar sentiasa menghormati, menghargai dan menyayangi wanita, katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia, semalam.

Sambutan Hari Penduduk Sedunia dengan tema tahun ini Kehamilan Gadis Remaja dianjur Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak 1989, bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai isu kependudukan dunia.

Beliau berkata, remaja hamil bukan saja tidak dapat menikmati zaman remaja mereka tetapi juga menutup peluang untuk mendapat pendidikan lebih tinggi selain berisiko terhadap penderaan. Mereka juga akan berhadapan dengan isu kehamilan dan penjagaan anak dalam keadaan mereka masih belum bersedia untuk menjadi seorang ibu dari segi mental dan fizikal, katanya.

Harga runtuh Honda Jazz

Harga runtuh Honda Jazz

Roslan (kiri) dan Ueno pada majlis pelancaran Honda Jazz CKD di Petaling Jaya, semalam. - Foto Amirudin Sahib

Honda Malaysia Sdn Bhd semalam melancarkan Honda Jazz enjin petrol pemasangan tempatan (CKD) yang ditawarkan pada harga kira-kira RM25,000 lebih rendah berbanding model import sepenuhnya (CBU) yang ditawarkannya sebelum ini.

Honda Jazz CKD itu ditawarkannya pada harga atas jalan RM74,800 seunit berbanding hampir RM100,000 bagi model CBU sebelumnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno, berkata Jazz enjin petrol CKD itu adalah model pertama dalam sejarah Honda Malaysia sejak ia ditubuhkan pada 2000, dijual pada harga di bawah RM75,000, sekali gus dijangka mampu menarik minat pasaran yang lebih meluas termasuk graduan dan eksekutif muda.

Tingkat daya saing

Beliau berkata, pengeluaran model Jazz enjin petrol CKD itu sejajar dengan hala tuju global Honda untuk meningkatkan tahap daya saing kos bagi menawarkan produk berjenama tinggi yang bernilai pada harga mampu milik.

Kami menyasarkan untuk menjual kira-kira 500 unit model ini sebulan, katanya kepada pemberita pada majlis pelancarannya di Petaling Jaya, semalam. Yang hadir sama ialah Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Roslan Abdullah.

Honda Jazz pertama kali diperkenalkan di negara ini pada Ogos 2008 dalam dua Gred iaitu S yang ditawarkan pada harga RM104,800 dan V (RM109,800). Pada April 2011, Honda Malaysia memperkenalkan model itu yang dipertingkatkan iaitu Jazz Gred V dengan penampilan berciri sport pada harga RM109,800.

Jazz Gred V kemudian digantikan dengan Jazz Grade S pada Ogos 2012 yang menyaksikan penurunan harga atas jalannya kepada RM99,800.

Ueno berkata, Jazz enjin petrol CKD itu adalah varian Jazz kedua yang dipasang di negara ini selepas Jazz Hybrid yang dilancarkan November tahun lalu yang kini dijual pada harga atas jalan RM89,900.  Beliau berkata, pengeluaran Jazz enjin petrol CKD itu adalah hasil penubuhan sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) baru awal tahun ini di kilang pemasangan Honda Malaysia di Pegoh, Melaka yang mengkhusus untuk menyesuaikan reka bentuk alat ganti tempatan.

Spesifikasi sama model CBU

Dengan sokongan pusat R&D baru itu, kami secara beransur akan meningkatkan kandungan tempatan bagi kereta yang kami keluarkan, katanya.

Ueno berkata, kandungan tempatan bagi kenderaan CKD Honda di Malaysia ini ketika ini ialah antara 30 hingga 40 peratus dan pihaknya merancang untuk meningkatkannya dari semasa ke semasa.  Beliau berkata, Jazz enjin petrol CKD itu menawarkan ciri serta spesifikasi sama seperti yang ditawarkan model CBU dari Thailand sebelum ini dan akan membantu memacu sasaran Honda Malaysia untuk menjual 64,000 unit kenderaan tahun ini.

Dengan 64 pengedar Honda di bandar raya utama dan bandar kecil, kami yakin mampu mencatatkan jualan yang tinggi dan pelanggan juga akan disokong dengan bertambahnya rangkaian pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) dan 4S kami, katanya.

Jazz enjin petrol CKD itu didatangkan dalam empat warna iaitu putih, metalik perak, metalik perang dan hitam.

Bercakaplah Benar walaupun menyakitkan

Bismillah. Tip untuk orang awam. Apabila kita menjual kereta, perlu diberitahu kondisi kereta itu yang sebenar, contohnya,
"Kereta saya ini, pernah mengalami kemalangan, dan pintu ini dahulunya kemek, sudah diketuk dan dicat semula. Kereta ini 'timing belt'nya sudah tiba masanya untuk ditukar. Kereta ini mempunyai masalah dengan penghawa dinginnya, pada sebelah malam, ianya kurang berfungsi. Saya ingin menjual kereta ini dengan keadaan asalnya."
Ini bagi memastikan duit yang kita terima hasil dari penjualan kereta tersebut menjadi duit yang hukumnya halal. Walaupun kepingan duit yang haram dan halal adalah sama di mata manusia.
Saya pernah banyak kali mendengar bahawa kita perlu memberitahu keadaan barangan dagangan kita yang sebenar, supaya hasil jualannya menjadi halal.
Ada seorang peniaga kain di zaman dahulu, memesan kepada pekerjanya sebelum meninggalkan kedai kainnya supaya menjual segulung kain ini dengan harga potongan sebanyak 50%, kerana ada kecacatan pada satu kawasan kain tersebut. Saudagar itu memesan kepada pekerjanya supaya menunjukkan terlebih dahulu kepada pelanggan sebelum menjualkannya dengan diskaun 50%.
Apabila saudagar itu pulang ke kedai kainnya, beliau mendapati segulung kain yang ada sedikit kecacatan itu sudah tiada di situ. Beliau bertanya kepada pekerjanya, sudahkan kau menjualkannya. Pekerjanya mengangguk kepala. Saudagar itu bertanya dengan harga berapa yang engkau jualkan kepada pelanggan itu.
Pekerjanya menjawab "Dengan harga tanpa diskaun"
"Kenapa engkau menjualnya dengan harga penuh? Tidakkah engkau sudah menunjukkan kepada pelanggan tentang kecacatan pada kain itu dan aku sudah mengarahkan engkau menjual dengan potongan separuh harga?" Tanya Saudagar itu lagi.
"Aku sudah menunjukkan kain itu, pelanggan itu tidak berkata apa-apa, maka aku jual dengan harga 100% supaya untung kita banyak" Jawab pekerjanya itu.
"Sekarang, aku mahu engkau pergi cari pelanggan itu dan memulangkan semua duit yang beliau sudah bayar ini, dan beritahu kepadanya aku halalkan kain itu, kerana aku tidak mahu makan duit yang haram, kerana menganiaya orang itu dengan tidak memberitahu akan kecacatan kain itu terlebih dahulu sebelum beliau membuat keputusan untuk membelinya".
Itu di dalam bisnes bukan sahaja ianya mesti
Syariah Compliant Marketing (Pemasaran Patuh Syariah) ianya juga mesti Bisnes Patuh Syariah.
Apabila kita menjadi pelanggan, kita juga menjadi pelanggan yang patuh syariah. Contohnya apabila kita ingin makan di restoran dan peniaga menyuruh kita makan dahulu. Sebaik habis dan ingin membayarnya, kita perlu ceritakan apa yang ada di dalam pinggan kita tadi, contohnya :
"Saya ambil, nasi, lauk sayur kangkung, saya tambah juga lobak merah, saya amil telur ikan tiga ketul, saya ambil sambal belacan dan saya juga mengambil sambal tempoyak. Oh ya saya ada ambil kuah sup, tetapi ada daging hancur yang masuk bersama dengan kuah sup itu ke dalam pinggan saya." Ini bagi memastikan kita membayar semua apa yang kita ambil. Saya paling tertekan apabila tuan restoran menyuruh saya makan dahulu, saya takut saya terlupa ataupun tidak menyebut secara menyeluruh (details) seperti di atas, menyebabkan makanan yang saya makan itu ada unsur haram.
Menjadi peniaga dan pelanggan kedua-duanya perlu memastikan duit yang diterima ataupun duit yang dibayar adalah halal sepanjang kita menumpang di bumi dan menggunakan semua harta dan kemudahan Allah.
Lain sekolah Agama, lain pula mazhabnya, ikut mazhab yang kita lebih yakin dan lebih percaya dan pada masa yang menghormati dan meraikan mazhab-mazhab lain yang patuh pada ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Astaghfirullah.

Shamsuddin Kadir

Kekeliruan imsak dan akhir sahur

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT, tahun ini kita masih lagi diizinkan untuk bertemu dengan Ramadan. Maka hendaklah Ramadan kali ini menjadi motivasi kepada kita dengan memanfaatkan segala kebaikan dan amal soleh seolah-olah inilah Ramadan kita yang terakhir.

Dan di antara kebaikan dan amal soleh dalam bulan Ramadan yang paling besar adalah melaksanakan ibadat puasa itu sendiri sesuai dengan sunah Nabi SAW. Apa yang dilakukan dan disuruh oleh Nabi dalam berpuasa itulah yang terbaik manakala yang tidak dilakukan oleh Nabi dan tidak disuruh itu bukanlah sunah baginda.

Semua orang Islam mengetahui bahawa puasa bermula dengan terbit matahari - masuk waktu Subuh dan berbuka selepas tenggelamnya matahari yakni masuk waktu Maghrib.

Namun, takrif puasa yang mudah difahami ini jika dilihat kebanyakan orang Islam yang berpuasa terdapat perbezaan praktikal dengan takrif puasa ini.

Tiada istilah imsak Misalnya, sudah menjadi kebiasaannya orang Islam hari ini imsak ketika bersahur iaitu berhenti 10 minit sebelum masuk waktu Subuh dan beriktikad pada tempoh masa 10 minit ini tidak boleh lagi menjamah makanan dan perlu berhenti serta-merta. Lebih parah lagi bersangka batal puasa seseorang seandainya masih makan dan minum dalam tempoh imsak ini.

Benarkah dakwaan ini? Apakah ada sandaran daripada Nabi? Pada pemahaman penulis, amalan imsak ini tidak menepati petunjuk dan sunah Nabi. Buktinya di antara sunah dan dianjurkan Nabi ketika bersahur untuk berpuasa adalah dengan melewatkan sahur seperti hadis Nabi yang bermaksud: “Tiga perkara adalah akhlak kenabian; mempercepatkan buka puasa, melewatkan sahur dan meletak tangan kanan atas tangan kiri dalam solat.” (Riwayat Al-Thabarani, dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih al-Jami’, no. 3038) Dan ia dikuatkan lagi dengan hadis daripada Zaid yang ditanya oleh Anas kepadanya, bahawa Zaid mengatakan jarak Nabi dan sahabat, mereka bersahur sebelum waktu Subuh dalam tempoh 50 ayat al-Quran dibacakan. Hal ini seperti terkandung dalam hadis Zaid yang berbunyi: Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh).” Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama sahur antara azan dan sahur tersebut?” Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Dua hadis di atas jelas menunjukkan bahawa tiada petunjuk daripada Nabi yang memberhentikan makan dan minum dalam tempoh tertentu sebelum masuk Subuh. Hal ini dibahaskan oleh Imam Ibnu Hajar di zamannya lagi dengan mengatakan: “Di antara bidaah yang mungkar ialah apa berlaku di zaman ini iaitu melaungkan azan kedua sebelum waktu Subuh dengan anggaran satu pertiga jam pada bulan Ramadan, di samping memadamkan pelita yang dijadikan tanda pengharaman makan dan minum bagi mereka yang ingin berpuasa. Perbuatan ini dianggap satu usaha berjaga-jaga dalam ibadat. Perkara ini tidak diketahui kecuali oleh segelintir manusia. Perbuatan ini juga menarik mereka untuk tidak melaungkan azan kecuali selepas terbenamnya matahari seketika untuk memastikan waktu pada sangkaan mereka. Dengan ini mereka melewatkan berbuka dan mempercepatkan bersahur dan mereka menyalahi sunah. Disebabkan inilah kebaikan menjadi sedikit dalam kalangan mereka dan keburukan menjadi banyak di antara mereka. Allah jualah yang dipohon pertolongan.” (Lihat Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Baari, 4/199) Azan ketika sahur Lebih jelas bukti yang menunjukkan tiadanya imsak dalam Islam ini walau apa sekalipun matlamatnya adalah hadis Nabi yang melarang seseorang berhenti ketika bersahur walaupun azan Subuh sudah berkumandang. Kata Nabi yang bermaksud: “Sekiranya seorang daripada kamu mendengar azan sedang bekas makanan di tangannya, janganlah dia letakkan sehingga dia selesai menghabiskan apa yang perlu.” (Riwayat Abu Daud, Dinilai hasan sahih oleh Syeikh al-Albani) Maka yang sahih dan menepati sunah bersahur untuk berpuasa ini adalah tiada waktu imsak. Berhentilah sebelum azan tanpa perlu dibataskan masa tertentu, itupun terdapat rukhsah dan keringanan sekiranya terdengar azan selesaikanlah makan dan minum barulah berhenti dan teruskan berpuasa. Yahudi lewatkan berbuka Ketika berbuka pula, disunahkan pula kita berbuka puasa dengan segera jangan melewatkannya seperti hadis Nabi yang berbunyi: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana mereka segera berbuka puasa.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Hal ini kerana Islam adalah agama fitrah dan berbuka awal menepati fitrah insan di samping anjuran Nabi kepada umatnya untuk berbeza dengan orang Yahudi yang berpuasa akan melewatkan berbuka seperti perkataan Nabi dalam hadis yang lain: “Agama ini akan senantiasa menang selama manusia menyegerakan berbuka, kerana orang Yahudi dan Nasrani mengakhirkannya.” (Hadits Riwayat Abu Dawud 2/305, Ibnu Hibban 223, dengan sanad yang Hasan) Tetapi ada juga di sana segolongan manusia berasa warak kepada Allah dengan melewatkan berbuka puasa dan berasa hina jika berbuka awal seperti golongan Syiah yang sesat. Mereka suka melewatkan berbuka puasa menanti sehingga nampak bintang di langit padahal sahih daripada Nabi agar jangan berbuka sehingga kelihatan bintang di langit.

Kata Nabi yang bermaksud: “Umatku akan senantiasa dalam sunahku selama mereka tidak menunggu bintang ketika berbuka puasa.” (Hadits Riwayat Ibnu Hibban 891 dengan sanad sahih) Jadi yang terbaik adalah mengikut petunjuk dan sunah Nabi ketika berpuasa kerana berasa cukup dengan sunah itu adalah sebuah hidayah. Penulis lulusan Syariahh Fiqh dan Usul (UM) adalah Ketua Biro Massa Ilmuan Malaysia

Ibu bapa halang hasrat berkahwin

Saya sudah bertunang selama dua tahun. Tunang mengajak saya berkahwin kerana khuatir terjerumus ke dalam maksiat kerana kami selalu berjumpa dan ia dibenarkan oleh bapa saya sendiri. Masalahnya sekarang perkara itu ditentang oleh ibu dan bapa saya kerana bagi mereka saya masih muda dan harus fokus pada pelajaran. Mereka juga suka mendengar nasihat orang lain dalam masalah ini.

Syarat untuk saya berkahwin adalah perlu menghabiskan pengajian ijazah terlebih dahulu dan mengikut kata mereka supaya menjadi guru. Untuk pengetahuan Dr, saya baru berusia 22 tahun dan berada di semester akhir pengajian diploma. Ini bermakna saya dan tunang perlu menunggu untuk tiga tahun lagi sebelum kami boleh bernikah.

Saya dan tunang ada merancang untuk menggunakan khidmat wali enggan (wali hakim) kerana ini adalah kali keempat hasrat kami ditentang. Kami memaklumkan kepada ibu bapa sebab ingin bernikah, namun mereka masih tidak dapat menerimanya.

Saya faham ibu dan bapa risau masa depan saya, namun melihat kesungguhan tunang dan apa yang dia korbankan untuk saya seperti membayar yuran semester, memberi duit untuk makan dan kos membeli keperluan belajar, saya berasakan dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami.

Dulu, saya amat sosial, selalu ke kelab malam, minum minuman haram. Namun, selepas dia merubah saya, Alhamdulillah saya menjadi Muslimah yang bertudung dan berpakaian labuh.  Ibu bapa saya amat suka dengan perubahan saya. Namun, mengapa mereka masih ingin mendengar cakap orang lain dan tidak memahami hasrat kami?

Adakah saya wajar untuk menggunakan khidmat wali enggan dalam hal ini? Kami hanya mahukan cara yang baik, namun semuanya ditentang oleh ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.

Runsing,
Selangor

Setiap masalah ada penyelesaiannya dalam Islam. Begitu juga dengan kes anda di atas berikutan keengganan ibu bapa membenarkan anda berdua melangsungkan perkahwinan walaupun sudah lama bertunang dan menyatakan hasrat untuk berkahwin segera.

Saya juga berasakan pelik dengan tabiat ibu bapa sedemikian apabila masih lagi menghalang perkahwinan anda sedangkan semua keperluan diuruskan tunang. Pada hal semua keperluan anda di bawah tanggungjawab ibu bapa.

Dengan sebab itu, saya berpandangan anda berdua boleh mengemukakan permohonan untuk berkahwin melalui perpindahan wali dari wali nasab kepada wali raja di mahkamah syariah tempat anda tinggal.
Asasnya ialah keengganan wali nasab memberi persetujuannya tanpa sebab yang mencukupi. Mahkamah akan menyiasat terlebih dahulu perkara ini dan akan memberi persetujuan apabila ia sudah berpuas hati.

Bagaimanapun, lebih baik perkara ini diselesaikan secara musyawarah (berbincang) sesama keluarga.

Dengan itu tiada pihak akan berkecil hati atau sebagainya dengan tindakan anda nanti. Lagipun penyelesaian sesama sendiri menjimatkan kos dan masa.

Saya berasakan perkahwinan anda tidak boleh ditangguhkan lagi dan banyakkan berdoa semoga ibu bapa anda terbuka hati untuk meneruskan akad pernikahan secepat mungkin.